Euforia Bola 2026
Famili

Zainani Jusoh, Anak Jati Tanah Merah Kelantan Dilantik Sebagai Akauntan Negara, Tahniah!

akauntan negara

Zainani Jusoh yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) kini dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu, berkuat kuasa 3 September 2025.

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengumumkan pelantikan tersebut dalam satu kenyataan rasmi, sebagai menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib pada tarikh yang sama.

Baca juga: Pengantin India Pilih Adat Perkahwinan Melayu Untuk Resepsi, Hasrat Ibu Akhirnya Tercapai & Viral!

ANAK KELANTAN KINI SANDANG JAWATAN AKAUNTAN NEGARA

AKAUNTAN NEGARA

Menurut kenyataan itu lagi, surat pelantikan Zainani telah diserahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 27 Ogos lalu dalam satu majlis di Putrajaya.

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), dan turut merupakan akauntan bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Zainani memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1994 sebagai akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM dan sejak itu telah berkhidmat lebih tiga dekad dalam pelbagai agensi kerajaan.

Sepanjang perkhidmatan beliau, Zainani telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan di beberapa kementerian dan jabatan termasuk Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Antara pencapaian pentingnya adalah usaha membawa transformasi digital kepada sistem pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia luar negara, yang sebelum ini dijalankan secara manual.

AKAUNTAN NEGARA

Menurut JANM, inisiatif tersebut telah meningkatkan kecekapan, ketepatan, dan keberkesanan pengurusan kewangan di semua misi diplomatik negara.

Sebelum menyandang jawatan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, Zainani pernah mengetuai Bahagian Khidmat Perunding JANM serta Bahagian Akaun Kementerian Kewangan antara tahun 2019 hingga 2023.

Sebagai penghargaan atas dedikasi dan kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam, Zainani telah dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota pada tahun 2015 sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“JANM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani untuk memikul tanggungjawab sebagai Akauntan Negara mulai 3 September 2025,” jelas kenyataan itu lagi.

Baca juga: Trend Minum Air Matcha, Tapi Awas! Minum Berlebihan Boleh Ganggu Kitaran Haid?

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×