Ketika hamil, tubuh wanita melalui pelbagai perubahan dari segi fizikal, emosi dan hormon namun, satu perubahan yang mungkin kurang diketahui adalah perubahan pada otak. Beberapa kajian sains mendapati bahawa saiz otak wanita boleh mengecil ketika hamil dan mengambil masa sehingga enam bulan selepas bersalin untuk kembali ke keadaan asal.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Neuroscience, otak wanita mengalami pengecilan pada bahagian tertentu semasa hamil, khususnya di kawasan yang mengawal hubungan sosial, empati dan pemprosesan emosi. Perubahan ini bukan disebabkan oleh kerosakan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses semula jadi tubuh dalam mempersiapkan wanita untuk menjadi ibu.
Baca juga: Demam Campak Boleh Serang Orang Dewasa, Komplikasi Lebih Serius Berbanding Kanak-Kanak!
SAIZ OTAK WANITA MENGECIL KETIKA HAMIL, KEMBALI NORMAL SELEPAS 6 BULAN

Freepik
Kajian menunjukkan bahawa perubahan ini membantu wanita menjadi lebih peka terhadap keperluan bayi, memahami tangisan, dan memberi tindak balas emosi yang sesuai selepas bersalin.
Walaupun saiz otak berubah, ia tidak bermakna wanita menjadi kurang bijak atau kehilangan keupayaan berfikir. Namun, ramai wanita melaporkan mengalami gejala seperti mudah lupa, susah fokus dan cepat penat mental semasa hamil atau selepas bersalin.
Fenomena ini sering dirujuk sebagai ‘mom brain’ dan sememang mempunyai asas saintifik. Perubahan berkenaan juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti kurang tidur, tekanan emosi, beban kerja mental sebagai ibu dan perubahan hormon.
Secara umum, struktur otak akan kembali ke keadaan asal dalam tempoh sekitar enam bulan selepas bersalin. Namun, sesetengah penyesuaian otak mungkin kekal lebih lama, terutamanya yang berkaitan dengan kepekaan terhadap bayi, naluri perlindungan, dan kecekapan mengenal emosi anak.
Ini menunjukkan bahawa perubahan otak ibu bukan bersifat negatif, tetapi lebih kepada penyesuaian jangka panjang untuk menyokong tanggungjawab keibubapaan.

Freepik
Perubahan saiz otak semasa hamil adalah normal dan tidak membahayakan. Ia bukan petanda penyakit atau kerosakan otak. Namun, jika ibu mengalami gejala mental yang berlebihan seperti kemurungan, gangguan tidur yang teruk atau kehilangan fokus yang berpanjangan, disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor atau kaunselor profesional.
Kehamilan bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal, tetapi juga memberi kesan ketara kepada struktur dan fungsi otak wanita. Perubahan ini membantu ibu menjadi lebih peka dan responsif terhadap anak, serta menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas bersalin.
Walaupun perubahan ini mengambil masa untuk pulih, ia adalah sebahagian daripada proses semula jadi yang luar biasa dalam perjalanan menjadi seorang ibu.
Baca juga: Air Asam Kunyit Homemade Ini Jadi Penawar Badan Letih & Lesu, Sekali Minum Terus Lega!
Sumber: National Institutes of Health
