Jenis santan yang dijual di pasaran hari ini bukan hanya satu, malah ada beberapa pilihan berbeza mengikut kegunaan masakan. Ramai yang mungkin tidak perasan dan asal nampak label “santan”, terus dicapai sahaja di rak kedai.
Sedangkan, setiap jenis santan memberikan rasa, tekstur dan fungsi yang tersendiri dalam masakan seharian.
Baca juga: Aroma Menusuk Jadi Terliur, Ini Resipi Sambal Bilis Bunga Kantan Sampai Tak Sempat Tunggu Lauk Lain!
KENALI KEGUNAAN 3 JENIS SANTAN YANG DIJUAL DI PASARAN

Gambar oleh Imzan Razin
Menurut perkongsian seorang pengguna media sosial, Imzan Razin, terdapat tiga jenis santan yang biasa ditemui iaitu Coconut Milk, Coconut Cream dan Trim Coconut Milk.
Perbezaan ini terletak pada kandungan lemak dan kepekatan santan. Maka, penting untuk kita tahu fungsinya supaya hasil masakan lebih sedap dan sesuai dengan resepi.
1. Coconut milk
Santan yang lebih cair dan mempunyai kandungan lemak lebih rendah berbanding cream.
Menurutnya, ia sangat sesuai digunakan dalam masakan berkuah seperti kari, gulai atau rendang yang memerlukan banyak kuah tetapi tidak terlalu pekat.
2. Coconut cream
Ia lebih pekat dan berlemak kerana kandungan santannya lebih tinggi. Teksturnya yang creamy memberikan rasa lebih kaya.
Jenis ini menurut Imzan amat sesuai untuk pembuatan kuih-muih, pencuci mulut seperti bubur atau serawa. Juga, masakan tradisional yang perlukan rasa lemak pekat seperti masak lemak cili api.
3. Trim coconut milk
Sementara itu, Trim Coconut Milk ialah versi santan rendah lemak.
Ia lebih cair, kurang berkrim dan sering dipilih oleh mereka yang menjaga diet tetapi masih mahu mengekalkan sedikit rasa santan dalam masakan.
Menurut perkongsian itu lagi, walaupun tidak sepekat santan biasa, ia tetap membantu menambah aroma dalam masakan dengan lebih sihat.
Kesimpulan
Setiap jenis santan mempunyai fungsi tersendiri. Jadi, lain kali apabila membeli santan di pasar raya atau kedai, jangan hanya capai secara rawak.
Pilihlah jenis santan yang betul mengikut keperluan masakan supaya hasilnya lebih enak dan menepati selera keluarga.
Baca juga: Resipi Pajeri Terung Serba-Serbi Cukup Rasa, Hidangan Wajib Di Meja Kenduri Orang Kampung!
Sumber: Imzan Razin
FT Image: AI
