Tak bersetubuh dalam tempoh melebihi empat bulan dipanggil Ila’, jika disertai dengan sumpah oleh suami untuk tidak menyetubuhi isterinya dalam tempoh tersebut atau lebih.
Ia adalah satu hukum yang disebut dalam al-Quran dan mempunyai kesan dalam hubungan suami isteri, di mana suami diberi tempoh empat bulan untuk kembali atau membuat keputusan sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau menceraikan isterinya.
Baca juga: Trend Lelaki Pakai Rantai & Gelang Makin Menjadi-Jadi, Dalam Islam Dibenarkan Atau Tidak?
TAK BERSETUBUH SELAMA BERBULAN, APA ISTERI BOLEH BUAT

Jika selepas empat bulan suami tidak kembali menyetubuhi isteri, dia wajib memilih antara kembali atau menceraikan isteri, dan jika kembali, dia perlu membayar kafarah sumpah.
Namun, jika suami tidak melafazkan sumpah ila’, maka perbuatan tidak menyetubuhi isteri walaupun selama lima bulan tidak dikira sebagai ila’ menurut syarak. Oleh itu, tiada hukum ila’ dijatuhkan dan suami tidak perlu membayar kafarah ila’ dalam situasi tersebut.
Firman Allah SWT:
لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢٢٦﴾ وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلَاقَ فَإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Kepada orang-orang yang meng-ila’ isterinya, diberi tangguh empat bulan (lamanya). Kemudian, jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan jika mereka berazam (bertetap hati untuk) talaq, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah : 226-227)
Pun begitu, tindakan suami menjauhkan diri daripada isteri tanpa sebab yang sah dianggap berdosa kerana suami masih mempunyai tanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin kepada isterinya. Nafkah batin termasuk layanan baik dan hubungan intim, yang merupakan hak isteri dalam perkahwinan.
Dalam satu kisah, Saidina Umar R.A pernah bertanya kepada anaknya Hafsah tentang berapa lama wanita mampu bersabar tanpa suami. Hafsah menjawab empat bulan, lalu Umar menjadikan tempoh itu sebagai rujukan untuk tidak menahan tenteranya lebih lama dari tempoh tersebut.
Kesimpulannya, tidak berlaku ila’ tanpa sumpah, namun suami tetap berdosa jika mengabaikan nafkah batin. Islam menekankan keadilan dan kasih sayang dalam rumah tangga dan hak isteri tidak boleh diabaikan tanpa sebab yang munasabah.
Baca juga: Tak Sangka! 7 Hobi Ini Rupanya Dilarang Dalam Islam, Kena Elak Jadikan Aktiviti Harian…
