Euforia Bola 2026
Inspirasi

Anak Pedalaman Sabah Cipta Sejarah Luar Biasa, Wakili Suara 2 Juta Pelajar Dunia Di Pentas Antarabangsa!

anak pedalaman sabah

Anak pedalaman Sabah sekali lagi membuktikan bahawa semangat, usaha dan keyakinan mampu mengubah keterbatasan menjadi kejayaan. Di sebalik kehidupan serba sederhana di Nabawan, seorang anak muda kini mencipta rekod luar biasa dengan melangkah jauh hingga ke pentas antarabangsa.

Beliau adalah Aikal Danish Juman, 19, yang terpilih mewakili suara hampir dua juta pelajar dunia sebagai ahli Youth Advisory Council (YAC) 2025-2026 anjuran International Baccalaureate Organisation (IBO).

Baca juga: Sekolah Seri Puteri Cipta Kegemilangan Di Pentas Antarabangsa, Juara Festival Orkestra Dunia!

ANAK PEDALAMAN SABAH TERPILIH DARI 1,400 PERMOHONAN

anak pedalaman sabah

Anak kelahiran Kampung Indah, Nabawan ini mencipta sejarah apabila dipilih daripada lebih 1,400 pemohonan dari 92 negara. Aikal merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang bakal duduk sebaris dengan 11 pelajar lain dari seluruh dunia, memberi input terus kepada kepimpinan tertinggi IBO.

Sebagai ahli YAC, Aikal Danish akan mewakili suara pelajar IB dari rantau Asia Pasifik bagi membincangkan dasar pendidikan dan keperluan pelajar pelbagai latar belakang, termasuk di IB Global Conference 2025 yang dijadual berlangsung di The Hague, Belanda dari 22 hingga 25 Oktober.

“Membesar di kawasan yang memerlukan sekurang-kurangnya sejam perjalanan untuk ke bandar, saya sangat sedar tentang jurang atau perbezaan ekonomi dan akses pendidikan yang dihadapi pelajar luar bandar.

“Di Nabawan, peluang untuk pelajar sangat tipis dan terhad. Ini menyebabkan ramai pelajar berpotensi tinggi seperti saya, perlu bekerja berkali-kali lebin keras hanya untuk mendapatkan peluang yang sering diberikan dengan mudah kepada pelajar di kota besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Didorong oleh pengalaman yang dilaluinya, Aikal Danish merasakan sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan, justeru beliau memilih untuk menyuarakan isu-isu sebenar yang dihadapinya saban hari ketika melalui proses pemilihan YAC, yang memerlukan penulisan tiga esei dan penyediaan dua video berkaitan isu-isu global

“Proses pemilihan IB YAC sangat ketat dan rigorous tetapi saya pastikan jawapan saya sentiasa jujur. Saya tidak terlalu risau tentang ‘apa yang mereka ingin dengar’, sebaliknya mahu lebih menekankan kepada isu-isu sebenar yang saya lihat setiap hari, sama ada di Nabawan, Sabah mahupun di Kolej MARA Banting,” katanya.

Pemilihan ini bukan sahaja membuka jalan untuk Aikal bekerjasama dengan Ketua Pengarah IB, Olli-Pekka Heinonen, malah memberi peluang kepadanya memperjuangkan akses pendidikan adil kepada semua pelajar tanpa mengira lokasi. Malah, beliau merancang untuk memperkenalkan program IB di Nabawan agar pelajar pedalaman tidak lagi ketinggalan.

anak pedalaman sabah

Beliau tidak lupa menghargai ibu bapa serta sahabat baiknya, Jacqueline Atat, yang menjadi sumber kekuatan. Katanya, pengalaman sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar di Kolej MARA Banting turut mempersiapkan dirinya untuk peranan besar ini.

“Saya bertuah kerana pengalaman sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kolej, banyak membantu mempersiapkan saya untuk peranan dalam IB YAC. la membentuk kepimpinan dan komunikasi saya, yang kini saya gunakan untuk berkhidmat dengan baik dan menjadi suara kepada hampir dua juta pelajar IB,” katanya.

Cita-citanya jelas ingin melanjutkan pengajian dalam bidang Neurosains dan menjadi pakar neurologi, sambil terus berbakti melalui kepimpinan.

Beliau juga berterima kasih kepada bekas Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik Kolej MARA Banting Rosmaria Abdullah, yang banyak membantu dalam proses pemohonan YAC. Bagi pihak kolej, pemilihannya dianggap pencapaian bersejarah kerana inilah kali pertama seorang pelajar Malaysia dipilih dalam YAC.

Baca juga: Impian Pemuda Nak Jejak Masjid Kristal Tercapai, Walaupun Berjahit 11 Luka Akibat Kemalangan

Sumber: Bernama

FT Image: Aikal Danish Juman

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×