Kisah anak sulung yang berjuang demi keluarga berakhir dengan linangan air mata apabila Muhammad Danish Shamsul Shahrizan, 16, pergi buat selamanya selepas terbabit nahas di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting awal pagi Sabtu.
Pemergian remaja yang menjadi tulang belakang keluarga sejak tiga tahun lalu itu benar-benar meruntun hati ibunya, Roszainida Hassan, 40.
Baca juga: Lelaki Mengesot Turun Tangga Hampa Keluar Dari Bank Tangan Kosong, Sambil Disaksikan Sendiri Anaknya
IBU KONGSI KISAH ANAK SULUNG PENCARI NAFKAH KELUARGA

Gambar oleh Ruwaida Md Zain: Roszainida Hassan, ibu kepada Muhammad Danish Shamsul Shahrizan ketika ditemui di Hospital Banting.
Sejak ayahnya, Shamsul Shahrizan Salam, 43, jatuh sakit akibat sawan dan adiknya, Nur Danisha, 14, disahkan menghidap kanser rahim, Muhammad Danish sanggup mengorbankan usia mudanya untuk membantu mencari rezeki.
Usai waktu persekolahan, dia memperbaiki motosikal dan mengambil upah kecil demi meringankan beban keluarga.
“Semalam, dia cakap hendak keluar dengan kawan-kawannya untuk baiki motosikal. Kereta itu kereta ayahnya, dia yang pandu. Saya pun tidak syak apa-apa sebab saya kenal semua rakan-rakannya selalu datang rumah saya, saya masakkan untuk mereka dan anggap mereka seperti anak sendiri.
“Arwah ini anak sulung, memang suka baiki motosikal, itu antara sumber pendapatan dia untuk bantu ringankan bebanan saya sebab ayahnya sakit…saya hanya suri rumah, saya cuma ambil hantar anak-anak jiran untuk transit sahaja, hanya itu pendapatan saya.
“Arwah adalah tulang belakang saya, dia yang bantu saya untuk keluarga cari duit. Dia yang banyak bantu saya bayar sewa rumah, keperluan rumah,” ujarnya dengan suara yang terputus-putus menahan tangisan.
Hampir berhenti sekolah cari duit untuk percepatkan pembedahan kanser rahim adik perempuannya

Gambar ihsan bomba: Keadaan kereta berkenaan
Lebih memilukan, niat murninya mencari wang untuk kos rawatan adik perempuan tercinta tidak kesampaian. Menurut Roszainida, Muhammad Danish pernah hampir berhenti sekolah demi bekerja sepenuh masa agar pembedahan adiknya dapat dijalankan segera.
“Saya menang ulang alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses rawatan dan kimoterapi untuk adiknya. Doktor beritahu kos rawatan mungkin dalam RM9,000.
“Dia pernah hampir-hampir hendak berhenti sekolah sebab hendak kerja cari duit, tolong cepatkan pembedahan adiknya. Memang saya usaha dengan arwah, dia betul-betul bantu saya,” kata si ibu dengan air mata yang tidak mampu ditahan.
Walaupun masih remaja, Muhammad Danish matang dalam tindakannya. Dia rapat dengan ibunya, sentiasa menemani ke mana sahaja dan tidak kekok mengambil alih tugas memasak untuk adik-adik apabila ibunya sibuk.
Namun, segalanya kini tinggal kenangan. Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, tiga nyawa termasuk Muhammad Danish terkorban di lokasi, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Banting. Dua rakan mereka yang cedera masih menerima rawatan.
Baca juga: Perjalanan Pulang Di Jempol Bertukar Tragedi, 5 Beradik Dilanggar Lori Yang Hilang Kawalan!
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro
