Euforia Bola 2026
Inspirasi

Kisah Kereta Pancit Semasa Temu Duga, Rezeki ‘Turun Dari Langit’ Lelaki Ini Terus Dilantik Jadi Senior Eksekutif!

kecewa keputusan spm

Pernahkah anda rasa hidup ini tidak adil usaha sudah sehabis baik, tapi tetap gagal? Itulah yang pernah dilalui Fitri, anak muda dari Kajang, yang kehidupannya penuh jatuh bangun. Dari kecewa keputusan SPM, tersalah pilih bidang, hilang kerja, hingga terpaksa menganggur berbulan-bulan,  semuanya menjadi episod pahit yang hampir mematahkan semangatnya.

Namun, siapa sangka kereta pancit di hari temu duga menjadi titik tolak rezeki yang membuka jalan kejayaan. Hari itu, Fitri dilantik sebagai Senior Eksekutif Bangunan dengan jumlah gaji yang tidak pernah dia bayangkan!

Baca juga: “Jangan Malu Jadi Diri Sendiri”- CGPA 4.0, Dua Ijazah & Bekerja Di Tiga Sektor, Wanita OKU Ini Jadi Inspirasi!

Kecewa Keputusan SPM Tak Cemerlang, Diejek Rakan

kecewa keputusan spm

Foto konvokesyen Fitri.

Saat keputusan SPM diumumkan, Fitri yang bersekolah di MRSM Pahang memperoleh 3A+, 2A, 1A- dan 3B+. Bagi sesetengah orang, keputusan itu cukup baik, tetapi bagi Fitri yang mengimpikan ‘straight A’, hatinya hancur.

Lebih perit adalah melihat ada rakan sebaya yang tidak berusaha keras tetapi berjaya memperoleh keputusan lebih cemerlang. Malah, ada yang menyindir, “Sama je result kita…” Kata-kata itu menusuk hati Fitri, membuatkan dia rasa kecil dan gagal. Namun, dari situ dia belajar satu perkara, rezeki setiap orang berbeza.

Walaupun mendapat tawaran matrikulasi dan asasi, Fitri akhirnya memilih Diploma Pengurusan Hartanah di UiTM atas cadangan keluarga. Sebenarnya, jiwanya lebih dekat dengan bidang perguruan, tetapi dia akur kerana tidak mahu membebankan ibunya yang membesarkan dia seorang diri.

Biarpun sering menangis dalam diam, Fitri bertahan. Berkat doa ibu dan tekadnya, dia tamat diploma dengan CGPA 3.80 serta Anugerah Naib Canselor (ANC)! Ketika melanjutkan ijazah, dia sekali lagi mengulangi kejayaan sama dan dinobatkan Pelajar Terbaik Fakulti.

Memasuki alam kerjaya, karier pertamanya bermula sebagai Protege di sebuah syarikat, namun suasana kerja penuh pilih kasih dan meruntuhkan motivasi. Pertukaran kerajaan ketika itu membuatkan dia diberhentikan bersama beberapa yang lain. Fitri kemudian bekerja sebagai Eksekutif Bangunan. Malangnya, persekitaran kerja yang rasis membuat dia rasa terpinggir. Akhirnya, dia berhenti dengan rela hati.

Tidak lama selepas itu, pandemik melanda. Fitri menganggur hampir 8 bulan, memohon pelbagai kerja namun tiada jawapan. Demi kelangsungan hidup, dia sanggup buat apa saja iaitu kerja kilang kopi, jadi cleaner di UKM, ajar tuisyen, pandu Lalamove dan GrabCar.

Walaupun pernah cemburu melihat rakan sebaya lebih berjaya, dia belajar untuk bersyukur dan menghargai perjalanan hidup sendiri.

Ujian Kereta Pancit di Hari Temu Duga

kecewa keputusan spm

Selepas sekian lama, Fitri dipanggil temu duga di sebuah syarikat. Namun, pagi itu ujian mendatang apabila keretanya pancit. Dalam keadaan panik, dia segera menghubungi HR, menukar tayar di bengkel, dan memecut ke lokasi temu duga di Kajang. Walaupun lewat sedikit, Fitri tetap hadir dengan tenang.

Panel tidak banyak bertanya soal teknikal, sebaliknya menilai personaliti dan pengalaman. Dua orang bos memberikan komen yang Fitri tidak akan lupakan:

“Saya nampak awak ada kemahiran komunikasi yang tinggi…”

“Awak ni macam Lamborghini. Kalau kereta mahal, takkan kita bagi jalan mudah. Mesti diuji di jalan yang mencabar…”

Fitri tersenyum, tidak menyangka kata-kata itu sebenarnya isyarat rezeki besar bakal menyusul. Beberapa hari kemudian, HR menghubungi dan memberitahu bahawa Fitri ditawarkan jawatan Senior Eksekutif Bangunan dengan gaji RM1,400 lebih tinggi daripada jangkaannya.

Bagi Fitri, ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi peluang untuk membalas jasa ibunya yang sentiasa menjadi tulang belakang hidupnya. Daripada semua ujian ini, Fitri merumuskan beberapa prinsip hidup yang menjadi pegangannya hingga kini:

  • Usaha sebaik mungkin, selebihnya serah pada Allah.
  • Jangan bandingkan hidup dengan orang lain.
  • Ambil peluang kerja walaupun bukan dalam bidang asal.
  • Jauhi orang toksik, walaupun daripada keluarga sendiri.

Baginya, formula kehidupan cukup ringkas: Usaha, Doa, Tawakkal = Rezeki Terbaik dari Allah.

*Kisah Fitri mengingatkan kita bahawa kegagalan hari ini tidak menentukan masa depan. Kadang-kadang, kereta pancit sekalipun boleh menjadi pintu rezeki yang tidak disangka.

Baca juga: 22 Kali Kemo & 15 Radioterapi, Graduan Pejuang Kanser Berdiri Gah Di Pentas Konvokesyen Genggam Ijazah!

Sumber: Muhamad Fitri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×