Pernah tak, tiba-tiba mimpi jumpa arwah yang pernah kita sayang sepenuh hati? Wajahnya jelas… matanya memandang… senyumannya sama seperti dulu. Tapi bila kita cuba bercakap, dia hanya diam. Dan bila kita terjaga, dada berombak antara sebak dan takut.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), fenomena ini ada penjelasan saintifik.
Baca juga: Ibu Ini Ajar Cara Mandikan Anak Demam Campak Tanpa Gatal Teruk & Pantang Larang Diamalkan!
FENOMENA MIMPI JUMPA ARWAH TAPI TERASA NYATA

Gambar PHM
Otak manusia menyimpan “arkib” memori yang berkait dengan emosi kuat, dan bahagian yang mengawal emosi iaitu amygdala kekal aktif walaupun kita tidur.
Dalam fasa tidur REM, otak menggabungkan semula memori lama dengan emosi. Ia boleh dicetuskan oleh perkara kecil seperti bau, lagu atau suasana yang mengingatkan kita pada insan itu.
Namun, di sebalik penjelasan logik, ada yang merasakan mimpi ini lebih daripada sekadar memori. Bagi mereka, ia seperti “kunjungan” yang tidak dapat diulang sesuka hati.
- Ada yang bermimpi hanya sekali selepas bertahun-tahun kehilangan insan tersayang.
- Ada yang bermimpi pada tarikh-tarikh tertentu, seolah ada mesej tersembunyi.
Seorang warga maya kemudiannya bertanya di ruangan komen kerana mimpi arwah ibunya tiada kedengaran suara.
“Min, saya kalau mimpi arwah mak saya tapi dia tak cakap. Adakah sebab suara dia dah makin terhakis dari memori otak saya? Sebab dah 15 tahun tak dengar suara dia?” tanya wanita tersebut.
PHM menyatakan bahawa mimpi juga boleh datang dalam bentuk wajah dan rasa walau tiada bunyi.
“Tak semestinya suara itu hilang dari ingatan. Kadang mimpi cuma memilih untuk tunjukkan wajah dan rasa, bukan bunyi,” jelas PHM.
Baca juga: Ini Senarai Sekolah Pemulihan Akhlak Di Malaysia, Tak Semua Yang Masuk Juvana Terus Ke Penjara
Sementara itu, kisah warga maya lain juga membuat hati meruntun:
“Pernah, mimpi sekali arwah mak sepanjang 6 tahun arwah mak pergi. Rindu sangat, seolah-olah arwah mak masih ada. Masih menanti-nanti mimpi bersama arwah mak. Walaupun hanya mimpi, tak dapat pegang, sentuh tapi sudah cukup menghilangkan rindu ni. Al-Fatihah untuk arwah mak.
“Mimpi arwah abah datang masa genap 40 hari meninggal. Abah jalan dan berhenti di pintu bilik dengan pakai baju Melayu putih, peluk saya tapi senyap je tak cakap apa-apa. Kemudian, terus tersedar dari tidur. Beberapa tahun lepas tu, mimpi abah lagi tengok semua anak-anak dia. Masa tu mak dengan dua orang adik berada kat Mekah buat umrah. Rindu sangat abah sampai sekarang,” beberapa komen warga maya.
Saintifik atau tidak, mimpi-mimpi ini meninggalkan kesan yang sukar dijelaskan. Ia membuat kita tertanya-tanya, adakah ia sekadar mainan memori otak atau sebenarnya pintu kecil yang terbuka seketika antara dunia kita dengan dunia mereka?
Sumber: Public Health Malaysia (PHM)
FT Image: AI
