Seorang ibu meluahkan rasa pilu dan memohon doa orang ramai menerusi laman Facebook selepas anak perempuannya mengalami kecederaan tempurung kepala retak dipercayai akibat ditolak oleh rakan sekelasnya.
Menerusi satu hantaran tular di media sosial, wanita tersebut, yang dikenali sebagai Zalinda Lin, berkongsi keadaan terkini Aisyah Sofia, yang kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas insiden itu berlaku.
Baca juga: Senarai Cuti Umum Malaysia 2026, Jadual Penuh Untuk Persekutuan & Negeri…
TEMPURUNG KEPALA RETAK, IBU DAKWA ANAK DITOLAK RAKAN DI SEKOLAH

“Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon semua kenalan, sahabat dan ahli keluarga agar sama-sama menitipkan doa buat anak saya, Aisyah Sofia Binti Rohaizan, yang kini sedang bertarung nyawa selepas ditolak jatuh sehingga menyebabkan tempurung kepalanya retak, berlaku pendarahan dalam kepala dan tidak sedarkan diri,” luahnya.
Menurut perkongsian tersebut, kejadian itu mengakibatkan tempurung kepala Aisyah retak dan berlaku pendarahan dalam kepala. Anak kecil itu kini dirawat dan sedang dipantau rapi oleh pihak hospital.
“Saya tak tahu dan tak boleh nak fikir sekuat mana kawan dia tolak sehingga menyebabkan kecederaan seteruk ini. Sesungguhnya saya reda dan cuba berlapang dada atas apa yang terjadi,” tambahnya.
Zalinda turut memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan buat anaknya dan agar segala urusan rawatan dipermudahkan. Dia berharap agar anaknya kembali pulih seperti sediakala ceria dan penuh senyuman seperti sebelumnya.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang sempurna, memudahkan segala urusan rawatan, melindunginya dari sebarang komplikasi, serta mengembalikan senyuman dan keceriaannya seperti sediakala. Semoga ada diantara kalian Yang Allah angkat doanya. Amin,” tulisnya.
Perkongsian tersebut telah meraih komen daripada warganet yang rata-ratanya turut bersimpati dan mendoakan kesejahteraan Aisyah.
“Allahuakbar. Semoga diberi kesembuhan seperti sediakala buat anakanda Aisyah Sofia. Semoga semua ahli keluarga tabah menghadapi ujian pada ketika ini. Semoga dipermudahkan semuanya,” komen pengguna Facebook.
Orang ramai turut diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan penuh dijalankan.
Baca juga: Tangan Anak Shuib Melepuh Teruk Akibat Terkena Minyak Panas, Ibu Tiri Kongsi Detik Cemas…
Sumber: Facebook
