Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai esok (12 Ogos). Di mana, STR Fasa 3 ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion sebagai langkah Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, memaklumkan sebanyak 8.6 juta penerima bakal menerima bantuan tunai sehingga RM650 menerusi STR Fasa 3.
Baca juga: Kronologi Terperinci Penggalian Semula Kubur Arwah Zara Qairina Selama 3 Hari Ini!
PEMBAYARAN STR FASA 3 2025

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding Fasa 1 pada Januari lalu yang melibatkan 8.3 juta penerima.
Menurut beliau, peningkatan bilangan penerima STR ini adalah hasil daripada inisiatif Kerajaan MADANI yang membuka permohonan baharu serta rayuan sepanjang tahun.
Langkah ini bertujuan memastikan bantuan sampai kepada semua golongan yang layak tanpa ada yang tercicir.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menambah, STR bukan sekadar bantuan tunai, malah ia memberi suntikan kewangan kepada penerima supaya mereka dapat mencapai kebebasan kewangan dan seterusnya menggapai kesaksamaan yang diidamkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Kerajaan berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Baca juga: “Saya Maafkan Mereka…” Gelandangan Dedah Apa Sebenarnya Berlaku, Saat Terima Nasi Tulang Ayam
Sumber: BERNAMA TV
FT Image: AI
