Ramai yang menyangka kerjaya sebagai guru umpama ‘syurga dunia’ kerana dikatakan mempunyai gaji stabil dan cuti banyak. Namun dengan tularnya kes-kes berkaitan kelakuan seperti yang terbaharu, melibatkan pelajar Tingkatan 2 ini, semuanya semakin rumit.
Baru-baru ini, tular satu video mengejutkan memaparkan insiden pergelutan antara seorang guru lelaki dan pelajarnya yang baru berusia 14 tahun, mengundang amarah orang ramai!
Baca juga: Padah Kena Tolak Rakan Sekelas, Murid Tahun 1 Masuk Hospital Akibat Pendarahan Beku Di Zakar!
Tegur Tak Hadir Kelas PJ, Guru Pula Dibelasah Pelajar Tingkatan 2

Difahamkan, kejadian bermula apabila guru itu menegur remaja terbabit kerana ponteng kelas Pendidikan Jasmani (PJ). Namun teguran itu dibalas dengan tindakan agresif apabila pelajar tersebut melepaskan tumbukan ke arah cikgunya sendiri tanpa rasa takut.
Walaupun dicabar secara fizikal dan emosi, guru muda berusia 29 tahun itu tetap kelihatan tenang. Dalam video berkenaan, kelihatan beliau langsung tidak membalas, malah masih mampu mengukir senyuman meskipun pelajar terbabit terus meninggikan suara dan mencengkam bajunya dalam keadaan marah. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Kajang, Kuala Lumpur.
Pelajar Kini Direman & Ditahan, Kes Disiasat Pihak Polis
Susulan insiden tersebut, guru berkenaan telah membuat laporan polis. Remaja itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan direman selama dua hari. Rakaman kejadian yang tular telah mengundang pelbagai reaksi netizen, ada yang bersimpati dengan nasib guru tersebut, tidak kurang juga yang meluahkan kebimbangan terhadap masa depan sistem pendidikan negara.
Malah kejadian ini turut mendapat perhatian pendakwah dan pempengaruh terkenal Firdaus Wong yang menganggap bahawa anak-anak zaman sekarang ‘kurang ajar’ dan tiada adab. Mungkin kerana didikan dari rumah oleh mak ayah masih belum cukup kerana ramai yang mengatakan anak-anak zaman sekarang sangat dimanjakan.
*Zaman berubah, dan tugas mendidik anak bangsa kini semakin rumit. Silibus makin kompleks, dan sikap pelajar pula makin sukar dikawal, kesan daripada kurangnya penerapan nilai moral dalam kehidupan seharian.
Baca juga: Tragedi Kejam Budak 6 Tahun Ditanam: Mayat Dijerut Cable Tie, Ibu Bapa Ada Masalah Rumah Tangga
Sumber: Firdaus Wong, Buletin TV3
