Tahukah anda bahawa pemilihan mainan yang tepat sebenarnya boleh membantu perkembangan otak, fizikal, dan emosi anak-anak sejak dari usia muda lagi?
Mainan bukan sekadar alat hiburan, ia memainkan peranan besar dalam merangsang kreativiti, pemikiran kritikal, serta kemahiran sosial si kecil.
Ini 7 permainan yang disarankan oleh pakar untuk membantu perkembangan kanak-kanak.
Lebih menarik, kesemua mainan ini boleh di dapati pada harga yang berpatutan, menjadikannya pelaburan bijak untuk perkembangan si manja.
1. Blok bangunan (lego) pelbagai bentuk

Mainan klasik ini melatih koordinasi tangan-mata, kemahiran motor halus, dan kreativiti.
Si kecil dapat belajar mengenal bentuk, saiz, serta membina struktur berdasarkan imaginasi mereka. Ia juga membantu membina asas pemikiran logik secara tidak langsung.
2. Set mainan masak-masak

Dengan pelbagai rekaan dapur mini, peralatan memasak, dan makanan tiruan, mainan ini menyokong perkembangan sosial dan komunikasi.
Ia merupakan mainan yang menggalakkan role play, dimana anak-anak boleh menjadi tukang masak, ibu, kakak dan pelbagai watak lain lagi. Ini meningkatkan kebolehan interaksi dan imaginasi mereka.
3. Puzzle kayu interaktif

Puzzle berasaskan huruf, nombor, bentuk atau haiwan sangat bagus untuk memperkenalkan konsep asas sambil bermain kepada anak anda.
Puzzle membantu si kecil berfikir secara kritikal, menyusun strategi dan menyelesaikan masalah.
4. Kereta & basikal tolak

Mainan kereta dan basikal tolak merupakan permainan yang membantu meguatkan otot kaki dan meningkatkan keseimbangan fizikal kanak-kanak. Ianya merupakan salah satu kaedah yang baik untuk mengajar si kecil anda berjalan dan berlari.
5. Buku lembut interaktif (soft book)

Buku bertekstur dengan warna menarik bagus untuk merangsang deria si kecil.
Permukaan yang timbul pada gambar, memperkenalkan mereka kepada konsep awal bentuk, warna sesuatu perkara. Ini membantu merangsang deria sentuhan.
6. Set Alat muzik mini

Peralatan seperti dram kecil, marakas, dan xylophone juga merupakan salah satu mainan yang baik buat perkembangan si kecil.
Permainan ini membantu merangsang perkembangan pendengaran dan ritma bunyi.
Selain itu, ia boleh membantu si kecil belajar mengekspresikan emosi mereka melalui muzik dan bunyi.
7. Mainan aktiviti pelbagai fungsi (busy board)

Busy board merupakan salah satu permainan yang sangat baik untuk melatih kemahiran motor halus, koordinasi dan tumpuan kanak-kanak.
Mempunyai pelbagai elemen seperti zip, butang, suis dan gear, permainan ini versatile dan sesuai untuk kanak-kanak seawal 1 tahun. Ia mampu merangsang rasa ingin tahu si kecil.
Kesimpulannya, mainan bukanlah sekadar alat hiburan kanak-kanak sebaliknya, ia akan membantu membentuk perkembangan emosi dan fizikal kanak-kanak dengan lebih baik.
Jadi buat para ibu bapa diluar sana, pilihlah mainan yang memenuhi keperluan perkembangan si kecil anda. Ada banyak pilihan di luar sana.
Semoga anak-anak kita dapat membesar dengan sihat dan kuat!
