Dalam satu perkongsian tular di media sosial, seorang ibu bernama Jy Christy menceritakan pengalaman mendebarkan yang menimpa anak perempuannya akibat kecederaan kecil yang tidak disangka-sangka datang dari pin Jalur Gemilang.
Kisah ini menjadi peringatan penting buat semua ibu bapa untuk lebih berwaspada terhadap luka kecil yang kelihatan ‘tidak serius’.
Baca juga: “Aku Dah Kata Dah”- Lencana Pin Jalur Gemilang Tercucuk Tapak Kaki Budak, Ngilu & Bahaya!
LUKA KECIL TERKENA PIN JALUR GEMILANG, JARI & KAKI MULA BENGKAK!

Foto: BERNAMA
Menurut ibu ini, anak perempuannya yang berusia 12 tahun mengalami luka kecil di jari akibat tercalar oleh pin bendera yang diletakkan di dalam poket. Walaupun luka tersebut hanya berdarah sedikit dan telah dibersihkan namun tidak menyangka bahawa bakteria sebenarnya telah masuk ke dalam luka tersebut tanpa disedari.
Pada mulanya, anaknya mengalami gejala biasa seperti demam dan batuk. Doktor klinik pertama hanya menganggap ianya selesema biasa dan hanya memberikan ubat. Namun selepas beberapa hari, jari dan kaki anaknya mula membengkak dan kemerahan! Si ibu segera membawa anaknya ke klinik kedua, dan kali ini doktor mengesyaki kesan alahan ubat serta memberikan pil dan krim sapu.
Malangnya, keadaan semakin buruk. Anaknya mengalami kesakitan yang teruk sehingga sukar untuk berjalan.
Mujurlah, doktor ketiga yang ditemui terus dapat mengesan punca sebenar dan ini bukan alahan ubat seperti yang disangkakan sebelum ini, sebaliknya jangkitan bakteria yang serius, dikenali sebagai peptida bakteria. Jangkitan ini turut mengganggu sistem imun badan sehingga merebak ke kawasan lutut.
“Kalau mahu selamatkan jarinya, mesti dihantar ke hospital segera,” kata doktor tersebut. Pada ketika itu, si ibu mengakui dia benar-benar panik dan terkejut. Lalu, mereka segera ke hospital untuk pemeriksaan terperinci.
Dua Jenis Bakteria Dikesan, Pembedahan Diperlukan

Foto: Kawasan lutut pun bengkak, merah.
Hasil ujian menunjukkan terdapat dua jenis bakteria berbahaya dalam badan anaknya, Group A Streptococcus dan Mycoplasma Pneumoniae. Doktor menjelaskan, pembengkakan berlaku pada lutut adalah reaksi imun terhadap jangkitan tersebut.
Pemeriksaan lanjut seperti x-ray, ujian fungsi jantung dan buah pinggang turut dilakukan. Malangnya, jangkitan pada jari sudah terlalu dalam dan memerlukan pembedahan segera. Luka tersebut tidak boleh dijahit selepas pembedahan kerana perlu dibiarkan terbuka untuk proses pembersihan dan pemantauan lanjut. Keadaannya sangat serius sehingga tulang boleh kelihatan dari luka tersebut.
“Walaupun bukan pembedahan besar, saya perlu tandatangan pelbagai borang persetujuan. Anak saya menangis ketakutan sebelum masuk ke bilik pembedahan,” katanya.
Namun begitu, pembedahan berjalan lancar. Anaknya kini sedang menjalani rawatan antibiotik intensif di hospital, dan doktor berharap bilangan bakteria akan mula berkurangan sebagai tanda pemulihan. Dijangka, anaknya perlu berehat sekurang-kurangnya sebulan sebelum kembali ke sekolah.
*Perkongsian ini menjadi peringatan keras buat semua ibu bapa untuk jangan sesekali memandang ringan terhadap luka kecil pada anak.
Sumber: Jy Christy, BFM News
