Euforia Bola 2026
Inspirasi

Wan Sekerat Usahawan OKU Satu Kaki Bukti Mampu Berdikari, Bakar Jiwa Orang Ramai!

usahawan OKU

Baru-baru ini, kisah usahawan OKU berjaya seperti Muhammad Irwani Mohd Amirsirifuddin menjadi inspirasi luar biasa kepada masyarakat.

Lebih dikenali sebagai ‘Wan Sekerat’, beliau membuktikan bahawa semangat dan usaha mampu mengatasi segala kekurangan fizikal yang dimiliki sejak lahir.

Baca juga: Bukan 1 Tapi 13 Anak Pasangan Ini Menghafaz Al-Quran, Jalani Hidup Sederhana Tapi Dalam Kalam Allah!

KISAH WAN SEKERAT USAHAWAN OKU BERDIKARI

usahawan OKU

Dilahirkan dengan kaki kanan tidak berfungsi dan kemudian terpaksa dipotong akibat insiden pada tahun 2015, Irwani tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk menyerah.

“Saya dilahirkan dengan kaki kanan yang tidak berfungsi (lembik tergantung), jadi ketika balik saya membonceng motosikal rakan, dan mungkin ketika itu saya letih, tidak sedar kaki (kanan) termasuk ke dalam (rim) tayar belakang.

“Saya kemudian dimasukkan ke Hospital Manjung dan pada hari kedua di hospital saya minta doktor potong kaki di paras bawah lutut kerana sudah tidak boleh diselamatkan.

“Jika diikutkan, saya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan, tetapi itu bukan alasan untuk saya duduk goyang kaki,” katanya, menambah insiden itu membakar semangatnya untuk terus berdikari dan tidak bergantung sepenuhnya dengan bantuan.

Berusia 33 tahun dan berasal dari Kampung Pulau Padang Bota Kiri, Perak, Irwani kini bergelar usahawan kecil-kecilan dengan menjual buah-buahan seperti manggis dan rambutan menggunakan motosikal roda tiga.

Dengan hanya mengambil masa kira-kira tiga jam sehari, beliau mampu meraih keuntungan sehingga RM1,500 sebulan. Ia merupakan satu jumlah yang membanggakan bagi usaha yang dilakukan secara solo.

“Selagi mampu bergerak, kudrat ini akan saya kerah untuk mencari rezeki buat diri sendiri dan juga keluarga,” katanya penuh tekad ketika ditemui wartawan Bernama.

Beliau memulakan perniagaan buah-buahan sejak tahun 2022 selepas melihat peluang sewaktu masih berniaga ikan pada 2018. Melihat kecenderungan orang ramai untuk membeli buah di kedai makan, beliau nekad beralih arah dan menyahut cabaran baru.

Baca juga: Ahmad Nur Iman Raih No. 3 Dunia Untuk Peperiksaan ACCA, Anak Jati Terengganu Banggakan Malaysia

usahawan OKU

Namun, Irwani bukan sahaja cemerlang dalam bidang perniagaan. Beliau juga merupakan pemain skuad kebangsaan ‘Harimau Kudung’ di bawah Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA).

Bersama rakan sepasukan, Irwani kini sedang giat berlatih bagi menghadapi Kejohanan Kelayakan Piala Dunia Bola Sepak Orang Kudung yang bakal berlangsung di Jakarta.

“Yang paling utama, jangan jadikan kekurangan kita sebagai batu penghalang untuk kita berjaya,” pesannya.

Kisah Irwani memberi isyarat jelas bahawa dengan usaha, kesungguhan dan semangat kental, kekurangan fizikal tidak akan pernah menghalang seseorang untuk berjaya.

Ia bukan sahaja membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan golongan OKU, malah turut memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang sedang berdepan ujian hidup.

Baca juga: Aktres Kavita Sidhu Bukti Tiada Batas Usia, Kini Terima PHD Pada Umur 54!

Sumber: BERNAMA

FT Image: Farhan Najib (BERNAMA)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×