Surau MADANI di kawasan Rehat dan Rawat (RNR Seremban) arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan mencatat sejarah apabila mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat.
Ini bermakna surau R&R Seremban merupakan pertama di lebuh raya negara ini yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat.
Baca juga: 222 Kes HIV Dalam Kalangan Pelajar IPT Dicatat Tahun Lepas, Majoriti Usia 18-19 Tahun!
SURAU MADANI RNR SEREMBAN ARAH SELATAN CIPTA SEJARAH, KINI BOLEH TUNAIKAN SOLAT JUMAAT

foto: BERNAMA (2025)
Surau lelaki tersebut mampu menampung seramai 150 jemaah dalam satu-satu masa. Pengisytiharan rasmi kelulusan itu telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis khas hari ini.
Menurut Faudzinaim, kebenaran tersebut tidak hanya memberi manfaat kepada pekerja di kawasan R&R berkenaan, malah pengguna lebuh raya yang menuju ke arah selatan juga boleh singgah dan menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan.
“Sebelum memberikan kelulusan ini, saya sendiri turun padang dan bertanya kepada para pekerja tanpa memperkenalkan diri. Saya ingin mengetahui keadaan sebenar mereka. Ramai yang memaklumkan tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana kesuntukan masa dan jarak yang jauh,” jelasnya.
Menjelaskan keperluan solat Jumaat di surau R&R ini, Faudzinaim berkata ia adalah tuntutan wajib bagi pekerja Muslim yang berada di situ.
“Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berpandangan bahawa terdapat keperluan mendesak bagi membolehkan pelaksanaan solat Jumaat secara sementara di sini,” jelasnya.

“Kebenaran ini merupakan yang pertama bagi mana-mana R&R. Diharapkan ia memberi kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam di lebuh raya,” katanya.
Sementara itu, Datuk Zakaria yang merupakan Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad memaklumkan terdapat kira-kira 90 pekerja lelaki beragama Islam yang bekerja di RNR Seremban ketika ini.
Pelaksanaan solat Jumaat ini bertujuan menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pekerja di kawasan itu serta penduduk sekitar Labu dan Seremban, selain pengguna lebuh raya.
Baca juga: Bermula 1 Julai, Semua Bank Akan Kenakan Cukai Perkhidmatan Sebanyak 8%
Sumber: BH Online
