Kadang-kadang, menjadi seorang ibu bukan sekadar tentang cinta dan pelukan. Ia juga tentang malam tanpa tidur, badan yang letih, dan emosi yang tercalar. Inilah yang membuatkan ibu penat jaga anak sangat berpotensi untuk bertindak di luar kawalan!
Itulah yang dilalui oleh seorang wanita baru-baru ini apabila dia berkongsi pengalaman menyayat hati apabila terpaksa mencampurkan ubat batuk ke dalam susu anaknya yang masih kecil, semata-mata kerana terlalu penat dan tidak mampu bertahan lagi.
IBU PENAT JAGA ANAK SUSAH TIDUR MALAM, BUBUH UBAT BATUK DALAM SUSU ANAK!

Foto: Luahan ibu di media sosial.
Dalam perkongsian tersebut, wanita berkenaan mendedahkan bahawa dia telah mencampurkan ubat batuk ke dalam susu anaknya yang baru berusia setahun enam bulan, hanya kerana terlalu penat dan memerlukan rehat.
“Aku campur susu anak aku dengan ubat batuk. Anak aku baru setahun enam bulan. Hari ini aku terlalu penat. Anak aku jenis kuat mengempeng,” luahnya dalam satu hantaran.
Tambahnya lagi, si kecil itu sering terjaga pada waktu malam tanpa sebab yang jelas, menyebabkan dia kehilangan waktu tidur berharga selama berhari-hari. Paling menyayat hati adalah, keletihan melampau membuatkan dia menangis sewaktu meletakkan ubat ke dalam susu.
“Aku menangis masa letak ubat,” tulisnya ringkas, tetapi cukup menggambarkan tekanan yang ditanggung.
Netizen Bimbang, Ramai Luah Simpati

Foto: freepik
Luahan itu pantas menarik perhatian ramai. Warganet meluahkan kebimbangan terhadap tindakan tersebut yang boleh menjejaskan kesihatan anak jika dilakukan berulang atau dalam dos tidak sesuai.
Ramai juga tampil memberikan sokongan moral dan menyarankan agar si ibu mendapatkan bantuan profesional sama ada berbentuk kaunseling, rawatan kesihatan mental atau pertolongan fizikal seperti pembantu harian.
“Kalau dah terlalu letih, jangan tunggu sampai terdesak. Minta tolong. Bincang dengan keluarga. Kesihatan mental ibu pun penting,” komen netizen.
Luahan ini membuka mata ramai tentang kepentingan memberi ruang dan sokongan kepada ibu yang menjaga anak kecil, khususnya ketika mereka keseorangan tanpa sistem sokongan yang kukuh.
Jika anda mengalami masalah sama, sila dapatkan bantuan dari NGO dan agensi kerajaan seperti Befrienders Kuala Lumpur menerusi talian 03-7627 2929 atau Malaysian Mental Health Association (MMHA) menerusi +603-2780 6803 dan juga MENTARI Malaysia, sebuah program di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyediakan rawatan berterusan, intervensi psikososial (kaunseling, psikoterapi, psikoedukasi), dan kumpulan sokongan.
Sumber: X @meinmokhtar
