Ular buta mungkin nampak kecil, lembik dan kurang digeruni, tapi jangan terkejut kerana makhluk ini sebenarnya antara ‘askar senyap’ yang sangat berguna dalam kebun.
Ramai geng berkebun pernah terserempak dengannya, mungkin ketika mencangkul tanah atau memindahkan pasu tanaman. Walaupun ramai yang geli atau terkejut, kehadiran ular buta adalah petanda baik untuk tanah yang subur.
Baca juga: 11 Jenis Pokok Berhantu Yang Perlu Elak Tanam Dekat Rumah, Jadi Spot Cik Ponti Mengilai…
ULAR BUTA SI PELINDUNG TANAMAN

Gambar oleh Ila Garden
Dalam satu perkongsian oleh Ila Garden, dia menceritakan pengalaman terserempak dengan ular buta ketika sedang mencangkul tanah untuk menanam sayur.
Mulanya menyangka ia ular berbisa, tapi selepas diamati, rupa-rupanya ia adalah ular tanah. Juga dikenali sebagai ular cacing yang merupakan sejenis spesis ular paling kecil di dunia.
- Ular ini tidak berbisa, tidak menggigit dan sangat jinak
- Warnanya kelabu kehitaman dan kadang-kadang kebiruan
- Panjangnya biasanya tidak melebihi 20 cm
- Mata yang sangat kecil
- Kulit berkilat seperti cacing
Ramai yang tersilap sangka ia hanyalah serangga biasa. Namun sebenarnya, ular buta berperanan besar dalam menjaga ekosistem kebun.
Makanan ular buta ialah pemangsa semula jadi kepada:
- Semut (dewasa, larva & telur)
- Anai-anai
- Larva serangga kecil
- Telur serangga tanah
- Ulat kecil dan ulat gonggok mini
Seekor ular buta mampu memakan sehingga 200 ekor semut sehari! Bayangkan betapa besar bantuannya dalam mengawal populasi serangga perosak di kebun tanpa sebarang racun kimia.
Baca juga: Tips Halau Kucing Berak Pada Tanaman Guna Kulit Limau Mandarin, Baru Tak Sakit Hati!
Tempat tinggal ular buta kebiasaannya di:

Gambar oleh Ila Garden
- Dalam tanah lembap
- Di bawah pasu atau timbunan kompos
- Dalam celahan akar tanaman
Ia sangat sensitif terhadap cuaca. Jika tanah terlalu panas, ia boleh mati. Jika hujan terlalu lebat atau banjir, ia akan keluar ke permukaan.
Maka, tidak hairanlah ia sering dijumpai semasa kerja menggembur tanah atau selepas hujan.
Jangan bunuh, pindahkan saja
Walaupun bentuknya boleh membuatkan ramai terkejut, ular buta tidak patut dibunuh. Ia bukan ancaman kepada manusia, malah memberi manfaat besar kepada kebun dan alam sekitar.
Jika terlihat, cukup sekadar alihkan ia ke tempat yang lebih selamat.
Sebagai penutup, Ila Garden mengingatkan:
“Kadang-kadang kita takut pada sesuatu yang nampaknya menakutkan, tapi sebenarnya dia ada peranan penting dalam alam sekitar. Hargai kehadirannya. Dia juga makhluk Tuhan dan berguna untuk tanah.”
Jika anda berkebun dan ternampak si kecil ini melintas, ingatlah dialah penjaga kecil kebun anda yang bekerja tanpa gaji, tanpa rehat, tapi setia melindungi tanaman dari musuh yang tak nampak.
Baca juga: Ingat Letak Racun Atau Pasang Perangkap Dah Tewaskan Tikus, Rupanya 9 Cara Ini Lebih Berkesan!
Sumber: Ila Garden
FT Image: Ila Garden
