Tak semua laluan politik itu licin. Ada yang berlopak, ada yang bertembung dengan dinding undang-undang. Tapi bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu penolakan mahkamah bukan pengakhiran tetapi itu isyarat untuk terus melangkah.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Soalan-soalan ini berkait rapat dengan satu perkara sensitif iaitu imuniti Perdana Menteri daripada tindakan saman, terutamanya jika dakwaan itu berlaku sebelum seseorang menjadi Perdana Menteri.
Apa yang berlaku sebenarnya?
Isu ini timbul susulan saman sivil yang difailkan oleh bekas pegawai penyelidik Anwar sendiri, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual pada tahun 2018 iaitu sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Saman tersebut mula difailkan pada tahun 2021 dan dijadualkan untuk perbicaraan bermula 16 Jun ini. Dalam pernyataan pembelaannya, Anwar menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa ia bermotifkan politik untuk menjejaskan kerjaya beliau.
Menurut laporan, Anwar memfailkan permohonan mahkamah untuk mendapatkan penjelasan berkaitan sama ada seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat mempunyai imuniti (kekebalan) undang-undang, terutamanya terhadap kes-kes yang berlaku sebelum seseorang itu dilantik sebagai PM.
Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu atas alasan persoalan yang dikemukakan dianggap bersifat spekulatif dan tidak relevan dalam pelupusan kes semasa.
‘Bukan nak lari dari undang-undang’ – Anwar
Menjawab spekulasi orang ramai, Anwar menjelaskan bahawa permohonannya bukanlah cubaan untuk lari daripada tindakan mahkamah atau menuntut kekebalan peribadi.
Menurut beliau, permohonan itu dibuat demi kepentingan sistem perlembagaan negara, terutamanya bagi memastikan institusi tertinggi negara seperti jawatan Perdana Menteri tidak dijadikan sasaran oleh tindakan undang-undang yang mungkin bermotif politik.
Dalam kenyataan beliau, Anwar menegaskan komitmennya terhadap prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman serta integriti tadbir urus demokrasi.
“Proses perundangan akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab tanpa gangguan atau kompromi.” ujarnya.
Katanya lagi, langkah itu diambil atas prinsip bukan panik. Malah, beliau turut menekankan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokrasi.
Kuasa ada had, undang-undang tetap jalan
Kes ini bukan sekadar soal teknikal undang-undang. Ia juga menyentuh soal persepsi awam, keutuhan sistem demokrasi dan kedudukan seorang pemimpin dalam menghadapi dakwaan.
Apa yang berlaku mengingatkan kita bahawa tiada sesiapa pun kebal di sisi undang-undang, walaupun seorang Perdana Menteri.
Namun dalam masa yang sama, penting juga untuk kita memahami keperluan menjaga maruah dan kestabilan institusi tertinggi negara.
Dalam dunia politik, persepsi sangat memainkan peranan tetapi yang lebih penting adalah komitmen terhadap kebenaran, keadilan dan ketelusan.
Dan buat masa ini, Anwar tetap berdiri di barisan hadapan, bukan untuk bersembunyi tetapi untuk menjalankan tugas seperti biasa.
