Pernah tak anda tiba-tiba mengalami sakit perut memulas bila masuk kedai serbaneka atau buku? Menerusi laman TikTok Dr Raihana Ismail, perkara ini dipanggil fenomena Mariko Aoki di mana seseorang itu mempunyai rasa untuk membuang air besar.
Mariko Aoki merupakan seorang wanita Jepun dan dia menulis pengalamannya dalam majalah Jepun pada tahun 1985. Tulisannya mendapat perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada pembaca yang turut mengalami perkara sama, lalu majalah tersebut menamakan fenomena itu sempena namanya.
Baca juga: Ini Senarai Lokasi Kamera AwAS & Jenis Kesalahan Yang Dikesan, Elak Kena Saman!
RASA SAKIT PERUT MEMULAS BILA MASUK KEDAI, INI SEBABNYA

Freepik
“Pernah tak bila masuk kedai Eco atau Daiso, tiba-tiba rasa sakit perut memulas nak buang air besar? Bukan sorang dua yang rasa macam ini, rupanya ada penjelasan sains di sebalik perkara ini.
“Kenapa rasa nak berak dalam kedai Eco, Daiso atau buku? Hal ini kerana bau kertas plastik dan barang murah. Bau spesifik ini boleh membuatkan reaksi dalam usus.
“Selain itu, bau di kedai itu akan aktifkan sistem saraf parasimpatetik yang mengawal pergerakan usus,” jelasnya.
Dr Raihana turut memberitahu suasana tenang di kedai berkenaan membuatkan badan lebih relaks dan sistem penghadaman mula aktif hingga mengakibatkan anda sakit perut memulas.
“Kedua, suasana tenang, sunyi dan sejuk buat badan relaks. Bila badan relaks, sistem penghadaman mula aktif dan perut pun mula berbisik. Sama macam ketika di rumah, tak ada gangguan, tiba-tiba nak ke tandas.
“Ketiga, psikologi dan rutin otak. Kalau badan dah pernah terlatih rasa nak berak dalam suasana kedai macam ni, otak akan secara semula jadi buatkan anda sakit perut setiap kali jejak kaki di kedai buku,” katanya menerusi video berdurasi kurang dua minit itu.
Menurutnya juga, fenomena Mariko Aoki ini adalah normal, tidak membahayakan, dan biasanya berlaku secara sementara tanpa memerlukan rawatan perubatan, kecuali jika disertai simptom lain yang lebih serius.
Di Jepun, kajian kecil menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh hingga dua puluh orang pernah mengalami fenomena ini, dengan wanita dilaporkan lebih cenderung mengalaminya berbanding lelaki.
Namun, setakat ini belum ada kajian berskala besar yang dijalankan secara saintifik untuk mengenal pasti punca sebenar fenomena ini.
Baca juga: 6 Jenis Burung Yang Haram Dimakan, Jangan Ambil Ringan!
Sumber: Facebook & TikTok Dr Raihana Ismail
