Kejayaan seorang anak menghafaz keseluruhan Al-Quran bukan sahaja menjadi kebanggaan buat dirinya, malah menjadi anugerah terindah buat ibu bapa yang selama ini setia menyokong dan mendoakan. Begitulah yang dilalui oleh anggota kumpulan nasyid terkenal, Syah Inteam dan isterinya apabila anak mereka, Muhamad Mustafa, berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh kurang setahun.
Tahniah diucapkan!
ANAK SYAH INTEAM TAMATKAN HAFAZAN 30 JUZUK AL-QURAN DALAM 11 BULAN

Momen istimewa itu dikongsikan menerusi sebuah video di laman Tiktok oleh Akademi Akmal yang memperlihatkan Muhamad Mustafa, anak bongsu pasangan tersebut, menitiskan air mata kesyukuran setelah menamatkan hafalan Al-Quran dalam tempoh 11 bulan 28 hari.
Syah, atau nama penuhnya Mohd Syahril Abdul Khalid, bersama isteri dilihat memeluk erat anak mereka dalam suasana penuh sayu dan limpahan kasih sayang. Salah satu detik yang menyentuh jiwa para netizen yang turut menonton video tersebut juga ialah ketika Mustafa mengusap wajah kedua ibu bapanya sambil menangis sebelum memeluk mereka erat.
“Daripada suara nasyid yang menyentuh jiwa, kini lahir pula seorang huffaz hasil doa dan usaha Syah Inteam sendiri. Masya-Allah, tabarakallah,” demikian kapsyen yang disertakan.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi positif dari warga maya, yang rata-rata mengucapkan tahniah kepada Mustafa dan keluarganya. Ramai juga memuji usaha Syah dan isteri dalam memperkenalkan Al-Quran sejak usia anak-anak masih kecil, membuahkan hasil yang membanggakan.
“Alhamdulillah, hadiah paling bermakna buat ibu dan ayah. Semoga adik terus cemerlang di dunia dan akhirat,”- netizen.
“Masya-Allah, ini jelas hasil didikan dari rumah. Bukan mudah untuk menghafaz 30 juzuk tanpa sokongan dan dorongan padu dari keluarga,”– netizen.
“Perjalanan untuk menghafaz al-Quran memerlukan pengorbanan besar. Setiap titisan air mata itu pasti membawa keberkatan. Tahniah dan syabas!”– netizen.
Selain itu, anak Syah turut diraikan dalam Majlis Haflah Takrimiah AKMAL Kali ke-6 yang berlangsung pada 1 Jun di Bangi Avenue Convention Centre. Seramai 150 pelajar huffaz diraikan dalam majlis ini yang dirasmikan oleh mantan Menteri Agama, Datuk Sri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.
@akademiakmal Daripada suara nasyid yang membesarkan jiwa, kini lahir pula seorang huffaz dari darah dan doa Syah Inteam sendiri. MashaAllah, tabarakallah. Dan kini, kita akan bersama menyaksikan detik gemilang ini, di Pentas Haflah Takrimi ke-6 AKMAL, yang tinggal 3 hari sahaja lagi! 📅 1 Jun 2025 📍Bangi Avenue Convention Centre #akmalspeedtahfizprogramme #tahfizsetahun #hafiz30juzuk #haflahtakrimi6 #inteam #syahinteam ♬ original sound – bigboss
Untuk makluman, Syah mendirikan rumah tangga dengan Nuur Asy-Syahidah pada tahun 2005. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Solahuddin, Muhammad Saifuddin, dan Muhammad Mustafa.
Sumber: Tiktok @akademiakmal
