Mungkin pernah menjadi perbalahan antara rakyat beberapa negeri dalam Malaysia mengenai siapa yang ‘paling fasih’ dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya, keputusan kajian mendapati orang Perak tampil sebagai juara sebenar apabila mencatat prestasi terbaik dalam kecekapan Bahasa Inggeris!
Mungkin yang disangka adalah negeri Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi tidak ya!
Baca juga: 10 Hotel Mesra Bajet Bawah RM100 Seluruh Malaysia, Bercuti Satu Keluarga Tanpa Poket Kering!
ORANG PERAK PALING FASIH BAHASA INGGERIS, KEDAH NEGERI KEDUA

Menurut laporan terkini dari EF English Proficiency Index (EF EPI) 2024, Perak meraih skor tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia dengan markah 585, menjadikannya negeri nombor satu dari segi penguasaan Bahasa Inggeris.
Untuk pengetahuan anda, EF EPI bukan sekadar penilaian biasa kerana ia merupakan indeks global yang mengukur tahap kecekapan Bahasa Inggeris dalam kalangan orang dewasa dari lebih 100 buah negara.
Untuk tahun ini, Malaysia menduduki tempat ke-26 di peringkat dunia dan berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara-negara Asia, hanya di belakang Singapura dan Filipina. Ranking Negeri dengan Skor Tertinggi (Malaysia 2024):
1. Perak – 585
2. Kedah – 583
3. Pulau Pinang – 583
4. Pahang & Sarawak – 580
5. Selangor – 575
Keputusan ini mungkin mengejutkan sesetengah pihak, terutamanya dengan Kedah berkongsi kedudukan kedua bersama Pulau Pinang kerana ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Namun, perhatian utama tetap milik Perak kerana merupakan negeri yang sering dikaitkan dengan loghat Ipoh yang lembut, kini terbukti juga cemerlang dalam komunikasi antarabangsa.
Apabila diteliti berdasarkan bandar pula, Shah Alam mencatat skor tertinggi dengan markah 598, diikuti Kota Bharu (585) dan Kuala Lumpur (584). Secara keseluruhan, Malaysia kekal sebagai antara negara yang menunjukkan pencapaian kukuh dalam penguasaan Bahasa Inggeris.
Dengan skor purata nasional 566, jauh melebihi purata global iaitu 477, Malaysia mengekalkan reputasi sebagai antara negara Asia yang paling mahir berbahasa Inggeris, hanya di belakang Singapura dan Filipina yang sememangnya terkenal dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Melihat trend laporan EF EPI saban tahun, jelas bahawa Malaysia kekal konsisten dalam kelompok atas dunia dari segi penguasaan Bahasa Inggeris.
Tahniah mike semua!
Baca juga: Hidup Tanpa Hiburan, Ini 7 Bandar Dikatakan Paling BOSAN Di Malaysia Yang Anda Kena Tahu!
Sumber: EF English Proficiency Index
