Isu berkaitan luka pembedahan sering kali menjadi perhatian dalam kalangan pesakit yang baru selesai menjalani prosedur pembedahan. Salah satu petua popular yang diamalkan masyarakat adalah pengambilan ikan haruan untuk mempercepatkan penyembuhan luka.
Namun, sejauh mana keberkesanan dan keselamatan amalan ini?
Baca juga: Sakit Macam Senggugut Tapi Tak Period, 11 Punca Ini Wanita Perlu Tahu & Jangan Abaikan!
LUKA PEMBEDAHAN

Gambar PHM.
Menurut hantaran terbaru dari Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, memang benar secara saintifik ikan haruan mempunyai manfaat dalam membantu proses penyembuhan luka.
Ikan ini kaya dengan protein dan asid amino seperti arginin dan glisin yang penting dalam pembentukan kolagen serta pertumbuhan semula tisu yang rosak.
Namun begitu, PHM memberi peringatan agar tidak tergesa-gesa mengambil ikan haruan terlalu awal selepas pembedahan. Hal ini kerana, pada peringkat awal, luka masih berada dalam fasa radang dan pemulihan asas.
Pengambilan makanan atau suplemen berprotein tinggi ketika ini boleh secara teori merangsang pertumbuhan tisu secara berlebihan, seterusnya meningkatkan risiko pembentukan parut dalaman (fibrosis) atau lekatan luka, khususnya selepas pembedahan dalam bahagian perut.
“Tiada kajian yang membuktikan kesan buruk ini secara langsung, tetapi secara biologi, berdasarkan tindak balas tisu terhadap protein tinggi dan faktor pertumbuhan,” jelas PHM.
Baca juga: Kentut Sambil Berjalan Beri Manfaat Kesihatan, Tapi Afdalnya Selepas Makan! – Pakar
Waktu sesuai ambil ikan haruan selepas pembedahan
PHM menyarankan agar individu menunggu sekurang-kurangnya 7 hingga 10 hari selepas pembedahan sebelum mula mengambil ikan haruan.
Pastikan luka sudah kering, tidak dijangkiti dan paling utama dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan sebarang pengambilan suplemen termasuk produk ikan haruan.
“Penyembuhan memerlukan kesabaran. Jangan terburu-buru utamakan keseimbangan,”pesan PHM.
Walaupun ikan haruan terbukti secara saintifik menyokong penyembuhan luka pembedahan, waktu dan cara pengambilan amat penting untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.
Jangan terlalu ghairah mengejar penyembuhan pantas hingga mengabaikan proses semula jadi tubuh dan nasihat pakar kesihatan.
Seperti kata pepatah, “biar lambat asal selamat.” Dalam hal penyembuhan luka, kesabaran dan ilmu pengetahuan memainkan peranan utama.
Baca juga: Lelaki, Awas! Ini 9 Simptom Awal HIV Yang Ramai Tak Sedar
Sumber: Public Health Malaysia
FT Image: Vitamin / Ezy Pantang
