Penggunaan sticker dalam aplikasi WhatsApp sudah menjadi kebiasaan dalam komunikasi harian. Malah, ramai yang bersetuju bahawa ia mampu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan dan ekspresif. Namun begitu, tidak semua bahan visual wajar dijadikan bahan gurauan seperti sticker Whatsapp lelaki menangis ini.
Ternyata, ramai dalam kalangan kita yang pernah menggunakan sticker ini dalam perbualan seharian malah dijadikan ‘penambah rasa’ ketika bergurau. Alamak, sticker yang mana satu?
Baca juga: Cara Buat Gambar ‘Ghibli Style’ Yang Jadi Trend, Rupanya Buat Macam Ni Baru Tak ‘Lari’ Wajah!
STICKER WHATSAPP LELAKI MENANGIS RUPANYA ADA KISAH SEDIH, ‘STOP’ GUNA!

Foto: Freepik
Menurut pendedahan dari pengguna Facebook Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad Jamalullail, menjelaskan bahawa lelaki dalam sebuah gambar yang tular dijadikan sticker itu adalah rakannya, Zulkifli Mohd Noor dari Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Gambar itu merakamkan detik sedih seorang lelaki menangis selepas kehilangan lima orang anak dalam tragedi tsunami 2004 telah disunting dan dijadikan sticker oleh individu tidak bertanggungjawab! Lebih memilukan, gambar berkenaan turut dijadikan bahan lawak di media sosial.
Menurut beliau, gambar itu dirakam sewaktu Zulkifli berkongsi kisah duka kehilangan anak-anaknya kepada wartawan, bukan untuk tujuan hiburan.
“Ketika itu, saudara Zul sedang menceritakan detik hitam dalam hidupnya selepas kehilangan lima orang anak dalam tragedi tsunami. Gambar tersebut sangat peribadi dan tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan,” katanya.
Anak-anak Zulkifli yang terkorban dalam bencana itu ialah Siti Nurain (17 tahun), Mohd. Shukri (12), Siti Nur Shuhada (10), Siti Nur Atikah (9), dan Siti Suraya (5). Dua orang anaknya terselamat, iaitu Siti Fairuz (16) dan Siti Zulaikha yang ketika itu baru berusia setahun.
Syed Mohamad Nazli turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar individu yang tidak dikenali tanpa memahami konteks sebenar di sebaliknya.

Foto: Sticker Whatsapp yang tular.
“Mungkin ada yang tidak tahu siapa individu dalam gambar itu dan sebab di sebalik kesedihannya. Sebab itu saya ingin menyeru agar kita semua lebih sensitif dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar sesiapa pun tanpa izin atau pengetahuan,” ujarnya.
Perkongsian beliau mendapat perhatian ramai dan menjadi peringatan agar lebih beretika dalam penggunaan kandungan digital. Netizen turut menyokong agar isu ini disebarkan bagi memperbetulkan salah faham dan memberi kesedaran kepada pengguna media sosial.
“Langsung tiada sensitiviti. Terlalu selesa bergurau sehingga tidak tahu mana batas yang wajar,” komen salah seorang pengguna Facebook.
*Jadi bermula dari saat ini, hentikan penggunaan sticker tersebut ya!
Baca juga: Cara Tukar Gambar Raya ‘Toy AI’ Ala Patung Barbie Yang Viral, Buat Macam Ini Confirm Jadi!
Sumber: Yusrina Mohd Yusoff, Sinar Harian
