Sejak beberapa hari ini kita dikejutkan dengan kes buli membabitkan pelajar MRSM. Walaupun telah dikenakan tindakan, namun ‘kesan’ menjadi mangsa buli ini tidak akan pudar dengan begitu sahaja malah menyebabkan trauma yang mendalam dalam diri masing-masing.
Seperti satu perkongsian di laman Facebook Afiq Noordin, dia menghimpunkan dan berkongsi surat-surat luahan dari mangsa buli dalam kalangan murid semasa memberi taklimat kesedaran di sebuah sekolah. Ternyata, kisah-kisah yang diluahkan terlalu perit untuk disimpan dan diluah…
Baca juga: “You Touch You Go!”- 7 Pelajar MRSM Terlibat Kes Buli Fizikal & Subahat DITAMATKAN Pengajian
Suara Mangsa Buli: Kisah Benar yang Menghantui Jiwa Anak-Anak Kecil

Foto hiasan.
Menurutnya, video buli pelajar MRSM itu membuka semula luka lama dan mengingatkan orang ramai tentang betapa serius dan membimbangkan isu buli dalam kalangan pelajar hari ini.
“Teringat saya pada satu pengalaman tahun lalu. Saya telah dijemput ke beberapa buah sekolah rendah di Melaka untuk memberi ceramah kesedaran tentang bahaya buli. Sebagai salah satu aktiviti, saya edarkan potongan kertas kosong kepada setiap murid dengan satu arahan ringkas”
“Tulis pengalaman paling teruk awak pernah dibuli”
Suasana kelas berubah sepi. Ada yang memegang pensel tetapi kaku, tidak tahu hendak menulis apa. Ada juga yang tunduk, segera mencoret sesuatu—seolah-olah beban emosi yang lama terpendam akhirnya diberi ruang untuk dilepaskan. Helai demi helai dikumpulkan, dan saat dia mula membaca surat-surat itu, air matanya pun hampir gugur.
“Sebahagian daripada catatan itu saya baca di hadapan mereka. Hati saya luluh. Bayangkan, kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun sudah memikul trauma yang berat. Mereka masih terlalu muda untuk memahami mengapa mereka disakiti, tetapi cukup dewasa untuk merasai luka yang dalam..”
“Saya cuba tenangkan diri di hadapan mereka. Namun, hati saya berkecamuk. Sukar untuk saya menjawab apabila membaca tulisan seorang murid: Saya tak tahu nak rasa apa bila hari-hari kena pukul.”
CONTOH LUAHAN MANGSA YANG BUAT NETIZEN SEBAK
Apa yang mampu kita katakan untuk memujuk hati anak-anak ini, sedangkan orang dewasa sendiri gagal melindungi mereka? Mungkin selama ini mereka diam kerana tidak tahu kepada siapa harus meluah. Namun apabila diberi peluang dan sehelai kertas kosong, mereka akhirnya bersuara.
Berikutan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah serta anak-anak kecil makin berleluasa, dia menekankan bahawa antara perkongsian kisah dalam surat itu bukanlah cerita rekaan sebaliknya suara sebenar yang lahir daripada pengalaman pahit anak-anak yang masih kecil.

Luahan 1.

Luahan 2.

Luahan 3.

Luahan 4.
*Buli bukan hanya berlaku secara fizikal. Ia boleh hadir dalam bentuk kata-kata, sindiran, ejekan, atau perasaan tersisih. Dan yang paling menakutkan ia sering dibiarkan berlarutan tanpa tindakan. Sudah tiba masanya kita ajar anak-anak bahawa mereka tidak seharusnya berdiam diri. Jika dibuli, bersuara. Jangan pendam. Jangan takut. Kerana dengan bersuara, ada peluang untuk perubahan berlaku.
Baca juga: “Siti Gemuk, Siti Hitam!”- Murid Tahun 1 Dibuli & Dapat Lukisan Tak Senonoh, Tak Mahu Pergi Sekolah!
Sumber: Afiq Noordin
