Membawa imej wanita Muslimah dengan berpakaian mematuhi syariah tidak menghalang Miyya Ashraf, 22, untuk melanjutkan pelajarannya dalam jurusan Fashion Business Buyer and Shop Management di Tokyo Mode Gakuen, Tokyo, Jepun.
Menurut Miyya Ashraf, sedari kecil dia sudah berminat dengan dunia fesyen. Di mana, dia sering mereka (design) baju rayanya berdasarkan majalah Ana Muslim dan buku yang mempunyai watak Barbie dan Princess, sebelum dihantar kepada tukang jahit seawal usia 6 tahun.
Baca juga: Pengalaman Ibu Sambut Puasa & Raya Bersama 2 Anak Istimewa, 14 Tahun Merantau Di Norway!
GADIS SAMBUNG PENGAJIAN DI TOKYO, JEPUN, TEKANKAN FESYEN IKUT SYARIAH

Miyya Ashraf, pelajar tahun kedua jurusan Fashion Business Buyer and Shop Management di Tokyo Mode Gakuen, Tokyo, Jepun.
Mengagumi pemikiran anak muda Jepun tentang fesyen
Selain itu, anak sulung daripada tiga beradik ini memilih negara Jepun untuk menuntut ilmu kerana fesyen di negara itu sangatlah lain dari yang lain.
Malah, kekaguman Miyya Ashraf terhadap pemikiran anak-anak muda Jepun iaitu berfesyen untuk melawan norma melalui berpakaian menguatkan lagi keinginannya belajar di sana.
“Mindset melawan norma ini banyak dalam kalangan orang muda jepun. Mereka bosan dengan kehidupan yang monotonous dan mahukan kelainan.
“Kita sudah terbiasa dengar orang-orang sana bekerja di syarikat sampai lebih masa tidur di tempat kerja. Jadi, generasi muda mahukan kebebasan daripada menjadi hamba kepada syarikat dan sebagainya.
“Itu salah satu sebabnya dengan fesyen mereka boleh mengekspreskan diri bahawa mereka lain dari lain. Kerana fesyen juga satu imej,” ujar Miyya Ashraf secara eksklusif kepada penulis Sirap Limau.
Jelas Miyya Ashraf lagi, dia sebagai seorang hijabi berasa tidak ganjil kerana di Jepun pakaian yang tidak normal (bagi mereka) sudah dibiasakan di dalam masyarakat dan akan diterima walau berniqab sekali pun.
Pandangan rakan sekelas terhadap imej menutup aurat

Miyya Ashraf menjalani sesi pemotretan untuk assignment kelas (kiri) dan salah satu gambar kelas di tempatnya belajar (kanan).
Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, penerimaan yang diterima Miyya Ashraf dari rakan-rakan sekelasnya mengenai imej bertudung dan menutup aurat sangat baik dan tiada apa-apa prejudis.
“Bagi mereka tudung hanyalah satu budaya di Malaysia, tapi saya sering menjelaskan bahawa menutup aurat itu adalah tuntutan agama bukan budaya. Jadi, mereka memahami perkara itu,” jelas Miyya Ashraf yang kini mempunyai 29.6 ribu pengikut di Instagram.
Mengekalkan ajaran Islam dalam berfesyen bukanlah satu halangan bagi gadis muda ini. Hal ini kerana, dia suka akan cabaran dalam penggayaan (styling) seperti yang diperagakan di dalam pertunjukan fesyen seluruh dunia, tetapi versi patuh syariah iaitu berpakaian longgar, bertudung labuh dan sebagainya.
Baca juga: Pertama Kali Berpuasa Di Negara Raja Charles III, Pelajar Kongsi Pengalaman Menarik!
HILM, jenama pakaian Muslimah ditubuhkan Miyya Ashraf

Miyya Ashraf anggun mengenakan busana tradisional Melayu sambil berdiri di hadapan pohon Sakura.
Justeru itu, Miyya Ashraf mengambil langkah progresif untuk melebarkan sayapnya di dalam dunia fesyen dengan menubuhkan jenama sendiri iaitu HILM, biarpun sedang menuntut pengajian.
“Brand ini ditubuhkan oleh saya sendiri, semua proses design, melukis pola baju dan menjahit saya buat seorang. Kadang-kadang kalau tak sempat sibuk kelas dan assignment ada kawan yang sudi tolong saya,” kongsinya.
Saluran ini juga digunakan untuk memudahkan masyarakat Muslim di Jepun membeli pakaian Muslimah dan memperkenalkan baju tradisional Malaysia.
“Saya gunakan peluang ini untuk memulakan perniagaan saya menjual pakaian Muslimah di Jepun. Ini juga satu peluang untuk saya memasarkan baju tradisional Malaysia.
“Kerana kawan-kawan non-Malaysian Muslim selalu puji dengan kecantikan dan keunikan baju tradisional kita. Insha Allah, pada masa hadapan saya akan mula menjual lebih banyak lagi baju kurung,” jelasnya yang kini sudah menghasilkan dua produk di bawah jenamanya iaitu Zahra Wrap Skirt dan Hanan Vest.
Aktiviti masjid ‘hopping‘ di Tokyo pada bulan Ramadan

Masjid Tokyo Camii.
Penuntut tahun kedua ini turut berkongsi kisah dia menyambut Ramadan di Jepun yang bermula pada tahun 2023. Sepanjang Miyya Ashraf berada di sana, bulan Ramadan sering disambut pada bulan Mac.
Sama seperti tahun ini, puasanya berada di hujung musim sejuk dan awal musim bunga yang mana, waktu malam sedikit panjang. Subuh pula dari pukul 4 pagi, manakala Maghrib pada jam 6 petang dan berpuasa selama 14 jam.
Malah, Miyya Ashraf dan rakan-rakannya sering menukar-nukar masjid untuk berbuka puasa dan solat Tarawih bagi merasai pengalaman yang berbeza. Antara masjid di Tokyo yang pernah disinggah ialah Tokyo Camii, Masjid Indonesia, Masjid Otsuka, Masjid Asakusa dan Masjid Shin-Okubo.
Paling diminatinya ialah suasana di Tokyo Camii, merupakan masjid rasmi kerajaan Turki di Tokyo yang mempunyai persekitaran dan seni bina seperti di Istanbul. Sementara, juadah di Masjid Otsuka menjadi pilihan kerana menghidangkan menu dari negara Pakistan, Bangladesh dan India.
Baca juga: Sedekad Tak Balik Beraya & Berpuasa, Wanita Ini Kongsi Kisah Hidupnya Di New Zealand
Keunikan pakaian raya komuniti Islam Jepun

Aktiviti Hanami iaitu berkelah sambil melihat sakura yang dianjurkan oleh pihak IMAN JEPUN, untuk menyambut Hari Raya.
Bercerita lanjut mengenai pengalaman menyambut Hari Raya Aidilfitri di ‘Negara Matahari Terbit’ itu, Miyya Ashraf menjelaskan dia belum ada peluang untuk solat raya di Jepun selama dua tahun ini disebabkan ia jatuh pada hari kelas.
Namun, dia dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk mengadakan rumah terbuka bagi mengubati rindu suasana di Malaysia.
Selain itu, sambutan raya yang diadakan Kedutaan Malaysia di Jepun juga cukup meriah, seakan berada di majlis perjumpaan sekolah bersama rakan-rakannya.

Miyya Ashraf bersama rakan-rakan beraya di Kedutaan Malaysia di Jepun pada 2024.
Dalam aspek pakaian raya pula, pada Miyya Ashraf keunikan komuniti wanita Islam Jepun yang kelihatan di matanya adalah menyarungkan Abaya dari kimono di tubuh mereka.
Sementara, orang lelaki lebih selesa memakai jubah dan berpakaian kasual.
Pesanan kepada bakal pelajar perantau industri fesyen

Miyya Ashraf berlatarkan keindahaan Gunung Fuji yang ketika itu beraya bersama keluarganya pada tahun 2023.
Mengakhiri sesi temu bual eksklusif ini, Miyya Ashraf berkongsi pesanan dan kata-kata semangat kepada bakal pelajar perantau Malaysia yang ingin mendalami dunia fesyen.
Lihat siaran ini di Instagram
AMARAN!
Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
