Baru sahaja berusia 7 tahun, tetapi pencapaian kanak-kanak perempuan dari Terengganu ini sangat luar biasa kerana berjaya meraih gelaran Juara Dunia di pertandingan pidato dalam bahasa Inggeris.
Lebih membanggakan apabila ia percubaan pertama Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
PERTANDINGAN PIDATO INGGERIS AMATULLAH HAMIDAH JUARA DUNIA

Gambar Nazdy Harun: AMATULLAH Hamidah menunjukkan sijil dan piala yang diperolehnya.
Amatullah Hamidah tewaskan 25 peserta
Ternyata tuah memihak kepada Amatullah Hamidah yang juga murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Furqan, Chendering apabila kepetahannya dalam bersajak itu berjaya memikat hati juri dan menewaskan 25 peserta dari enam negara lain.
Sekali gus, Amatullah Hamidah mengharumkan nama negara dan negeri di The 63rd International Children And Youth English Recitation Competition pada 11 Januari lalu.
Baca juga: “Percaturan Allah”- Susu Handzalah Kini Milik Bayi Faleeq Yang Ibunya Meninggal Dunia Dalam Tidur
Ibu kepada Amatullah Hamidah, Hasmah Darwis, 31, berkata, penyertaan anaknya yang mesra dengan panggilan Hamidah dalam kategori Early Childhood Group (7 tahun) tidak dirancang malah persiapannya juga hanya dilakukan dalam tempoh seminggu dengan pertandingan diadakan secara dalam talian pada 11 Januari lalu.
“Ini penyertaan antarabangsa Hamidah yang pertama dan sebenarnya kami mahu beri dia pengalaman selain mencari markah kepadanya sebagai calon tokoh murid Pasti daerah Kuala Terengganu untuk pertandingan Pasti peringkat negeri di Sarawak.
“Dalam pertandingan yang diadakan secara atas talian itu, Hamidah pilih untuk bersajak dan memang nampak kesungguhan dia berlatih tetapi saya dan suami (Muhammad Luqman Al Hakim Mohd Radzi, 32) tidak letak harapan yang tinggi dan tidak memberinya tekanan.
“Kemenangan Hamidah diumumkan dalam satu majlis pada 25 Januari lalu dan ia satu keputusan yang mengejutkan kerana Hamidah mencipta kejayaan di peringkat dunia pada usia yang muda,” katanya yang juga seorang guru al-Quran.
Bagi Muhamad Luqman Al Hakim, bakat yang ada pada anaknya itu akan diasah dan dikembangkan sebaik mungkin.
“Hamidah masih muda dan perjalanan jauh lagi. Sebagai orang tua, kami bangga dengan pencapaian Hamidah namun kami tidak mahu dia tersasar,” katanya.
Baca juga: Warga Emas Sebak Terima Kunjungan Ramai Di Gerai Makan, Selepas Video Tular “2 Hari Makanan Habis…”
Amatullah Hamidah suka berpidato!
Sementara itu, Hamidah turut melahirkan rasa gembira dan seronok apabila menjadi juara dunia selain tidak menyangka videonya tular di media sosial.
“Saya suka berpidato kerana ia bukan sahaja dapat buat saya gembira tetapi melatih saya untuk menjadi lebih berani,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang tentera.
Sebelum ini, kejayaan Amatullah Hamidah turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut memuat naik hantaran ucapan tahniah di laman Facebook rasminya.
Pertandingan anjuran Global Arts, Sports and Culture Association (GASCA) dan berpangkalan di Hong Kong adalah pertandingan pidato dalam talian yang menghimpunkan peserta cilik dan belia dari seluruh dunia.
Sumber: Harian Metro
FT image: Harian Metro / FacebookDr. Ahmad Samsuri Mokhtar
