Seramai 7270 pengguna di Kelantan mempunyai tunggakan bil air berjumlah RM4.6 juta bagi tempoh 2022 dan 2023. Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata tindakan undang-undang akan dikenakan dan memberi tempoh untuk menjelaskan hutang bil air mereka yang sudah dipotong.
Baca juga: Air Pasang Besar Dijangka Berlaku Di Selangor Pada 17-20 Oktober Ini, Utamakan Keselamatan Anda!
TUNGGAKAN BIL AIR DI KELANTAN SEBANYAK RM4.6 JUTA

Jabatan Korporat AKSB menjelaskan bahawa selepas ini, senarai nama dan nombor akaun bil pengguna yang masih gagal membayar tunggakan bil air itu akan diserahkan kepada Peguam AKSB bagi meneruskan tindakan undang-undang.
Sejumlah 3,316 akaun dipotong bagi 2022 dengan hutang RM2.379 juta masih belum dijelaskan dan 2023 pula sejumlah RM2.196 juta direkodkan dengan 3,954 akaun bil air masih lagi berhutang.
“Justeru, AKSB terus mempergiat usaha menuntut hutang sebanyak RM4.5 juta daripada pengguna yang masih gagal menjelaskan hutang bil air yang sudah dipotong itu,” ujarnya.
Berbicara mengenai proses tindakan, gerak kerja Unit Penguatkuasaan AKSB akan membuat pemotongan bil air di rumah pengguna atau premis yang aktif terlebih dulu iaitu bil tertunggak melebihi tiga bulan.
Dalam tempoh 45 hari bil akhir dikeluarkan, jika pengguna masih gagal menjelaskan tunggakan, penolakan deposit ke atas baki tunggakan akan dibuat, menjadikan akaun adalah tidak aktif dan berhutang.
Selain itu, pihak AKSB turut melantik empat ejen kutipan hutang berlesan bagi membuat tindakan susulan agar pengguna membayar tunggakan bil air tersebut.
Perkembangan lanjut mengenai masalah ini boleh diketahui di laman sesawang rasmi www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB dan Facebook. Pengguna juga boleh menghubungi PINTAS di talian 15777 jika mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan.
Baca juga: BAHAYA Pijak Batu Refleksologi Di Taman Kalau Tak Tahu Cara, Jangan Tersilap Langkah!
Sumber: Buletin TV3
