Suasana hari pendaftaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kali ini memang lain macam apabila 8 kembar mencuri perhatian ramai, selepas mendaftar serentak sebagai mahasiswa baharu.
Menurut laporan media tempatan, mereka antara kira-kira 5,000 penuntut yang mendaftar kali ini, membabitkan tiga pasangan kembar lelaki dan lima pasangan kembar perempuan yang akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Pusat Asasi UIAM di kampus Gambang dan Kuantan.
8 KEMBAR DAFTAR SERENTAK MASUK BELAJAR DI UIAM
Bagi Siti Nur Damia Tasnif Luqman dan kembarnya, Siti Nur Dania Tasnim yang masing-masing berusia 18 tahun, peluang menyambung pengajian di UIAM cukup bermakna buat mereka. Ditambah pula, dapat direalisasikan bersama insan paling rapat dalam hidup.
Mereka memilih UIAM atas faktor persekitaran yang sentiasa menitikberatkan tuntutan Islam seperti menutup aurat, kuliah agama dan pergaulan yang terbatas terutama dengan penuntut lelaki.
“Selain pendidikan akademik, kami turut berpeluang menimba ilmu agama disediakan pihak UIAM. Di universiti lain mungkin suasananya agak berbeza. Faktor berkenaan mendorong saya adik (Siti Nur Dania Tasnim) menjadikan UIAM sebagai pilihan pertama melanjutkan pelajaran.
“Sokongan dan galakkan diberikan insan tersayang, ibu dan ayah menguatkan lagi semangat untuk meneruskan langkah ke UIAM. Saya dan kakak sepakat memilih jurusan sains fizikal bagi memburu cita-cita,” kata Siti Nur Damia yang berasal dari Klang, Selangor.
Turut berkongsi rasa syukur ialah Elya Dania Azman dan kembarnya, Elya Diana, yang mengakui gembira apabila berjaya menempatkan diri di universiti pilihan masing-masing.
Walaupun tidak tinggal sebilik, perkara itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus fokus dalam pelajaran yang bercita-cita sebagai jurutera kimia dan bidang perubatan suatu hari nanti.
“Walaupun tidak dapat tinggal bersama dalam satu bilik namun itu tidak melemahkan semangat dan tumpuan kami untuk berjaya dalam pelajaran.
“Matlamat kami selepas ini adalah berusaha memburu cita-cita, seterusnya mengotakan janji kepada ibu dan bapa,” kata Elya Dania yang ditempatkan di UIAM kampus Gambang.
Baca juga: Ingatkan 4…Wanita Ini Terkejut Timang Kembar 5 Semasa Bersalin, Rezeki Luar Biasa Selepas 12 Tahun!
Sementara itu, Nur Dhia Danisha Muhammad Yusri, 18, dan adiknya, Nur Adini Darwisya pula menjadikan UIAM sebagai pilihan pertama dengan dorongan penuh daripada ibu bapa.
“Saya memilih jurusan Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, manakala adik memilih jurusan jururawat,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan, Nazira Zubir berkata, ini kali pertama UIAM menerima kemasukan lapan pasangan kembar serentak di pusat asasi dua kampus tersebut.
“Tahun lalu kita hanya menerima lima pasangan kembar. Namun hari ini kita menerima lapan pasangan kembar membabitkan tiga pasang lelaki dan lima pasang perempuan.
“Masing-masing empat pasang belajar di UIAM kampus Gambang dan empat pasang di UIAM kampus Kuantan,” katanya.

Gambar Mohd Rafi Mamat: Empat daripada lapan pasang kembar yang melanjutkan pengajian di Pusat Asasi UIAM di kampus Gambang dan Kuantan.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro

