Situasi geopolitik di Asia Barat sebelum ini menimbulkan kebimbangan apabila laluan penting perdagangan global terganggu. Namun, perkembangan terbaru memberi kelegaan apabila kapal Malaysia akhirnya dibenarkan meneruskan perjalanan melalui Selat Hormuz selepas rundingan diplomatik peringkat tinggi antara Malaysia dan Iran.
Baca juga: Konflik Dunia Cetus Kebimbangan, Ini 10 Stok Makanan Tahan Lama WAJIB Simpan Dari Sekarang!
7 KAPAL MALAYSIA DIBENARKAN MELALUI SELAT HORMUZ

Gambar X Kedutaan Iran di Malaysia.
Perkembangan ini penting kerana Selat Hormuz merupakan salah satu laluan maritim paling strategik di dunia, yang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dan gas global. Gangguan di kawasan ini boleh memberi kesan langsung kepada harga minyak, bekalan tenaga dan ekonomi negara.
Menurut laporan beberapa agensi media antarabangsa dan tempatan, sekurang-kurangnya tujuh kapal yang mempunyai kaitan dengan syarikat Malaysia sebelum ini terkandas akibat ketegangan serantau.
Namun kini, diberikan laluan secara berperingkat tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan susulan jaminan daripada Iran, walaupun ketegangan di rantau itu semakin meningkat.
Laluan selamat hasil rundingan diplomatik

Gambar X Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi, di sela-sela Kuala Lumpur–Ankara Dialogue semalam.
Kementerian Luar memaklumkan bahawa kebenaran untuk kapal-kapal berkenaan melalui Selat Hormuz adalah hasil usaha diplomatik berterusan antara pemimpin Malaysia dan Iran.
Antara langkah penting yang diambil termasuk perbualan telefon antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu, selain pertemuan antara Menteri Luar Malaysia dan rakan sejawatnya dari Iran beberapa hari sebelumnya.
Hasil rundingan tersebut, Iran bersetuju membenarkan kapal Malaysia melalui laluan strategik itu secara berperingkat walaupun ketegangan masih berlaku di rantau berkenaan.
Keputusan ini juga dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara serta mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
KENAPA SELAT HORMUZ SANGAT PENTING KEPADA DUNIA
Selat Hormuz bukan sekadar laluan laut biasa, sebaliknya ia merupakan nadi utama perdagangan tenaga global.
Kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak mentah dan gas asli dunia melalui selat ini setiap hari. Sebarang gangguan di kawasan tersebut boleh menyebabkan:
- Kenaikan harga minyak global
- Gangguan bekalan bahan api
- Kesan kepada ekonomi negara
- Tekanan terhadap kos sara hidup rakyat
Disebabkan itu, setiap perkembangan berkaitan Selat Hormuz sering mendapat perhatian dunia termasuk Malaysia.

Gambar Marine Traffic.
SENARAI 7 KAPAL MALAYSIA YANG DIBENARKAN MELALUI SELAT HORMUZ
Berikut ialah senarai tujuh kapal yang mempunyai kaitan dengan syarikat Malaysia dan telah diberikan kebenaran untuk melalui Selat Hormuz:
- Tiga kapal milik PETRONAS: Termasuk kapal tangki minyak yang disewa untuk membawa minyak mentah dari Iraq ke Malaysia.
- Dua kapal milik MISC Berhad: Syarikat perkapalan milik Malaysia yang terlibat dalam pengangkutan tenaga dan logistik maritim.
- Satu kapal milik Sapura Energy: Terlibat dalam operasi berkaitan industri minyak dan gas.
- Satu kapal milik Shapadu Corporation Sdn Bhd: Syarikat tempatan yang turut mempunyai kepentingan dalam sektor tenaga.
Sementara itu, Reuters melaporkan sebuah kapal tangki yang membawa minyak mentah Iraq telah melalui Selat Hormuz berhampiran pantai Iran, sehari selepas Iran mengumumkan bahawa Iraq dikecualikan daripada sebarang sekatan untuk merentasi laluan laut penting itu, menurut data daripada LSEG dan Kpler.
Kapal Ocean Thunder memuatkan kira-kira satu juta tong minyak mentah jenis Basrah Heavy pada 2 Mac dan dijangka menurunkan muatannya di Pengerang, Malaysia pada pertengahan April, menurut data Kpler.
Data menunjukkan kapal tangki tersebut disewa oleh Petco, sebuah unit kepada syarikat tenaga milik negara Malaysia, Petronas.
Ia merupakan antara tujuh kapal yang mempunyai kaitan dengan Malaysia yang dibenarkan oleh Iran untuk melalui selat itu, menurut dua individu yang mengetahui perkara tersebut kepada Reuters. Kedua-dua individu enggan dikenali kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap secara terbuka.
Kesemua kapal ini, sebelum ini dilaporkan menunggu kebenaran untuk merentasi laluan berkenaan selepas sekatan dikenakan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
Apa makna perkembangan ini kepada rakyat malaysia
Walaupun isu ini berlaku jauh dari negara, kesannya boleh dirasai secara langsung oleh rakyat Malaysia.
Apabila kapal minyak dapat bergerak lancar, bekalan tenaga negara dapat dikekalkan dan risiko kenaikan harga bahan api dapat dikurangkan. Ini penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mengelakkan tekanan tambahan terhadap kos harian rakyat.
Kerajaan Malaysia juga menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan pelayaran serta kebebasan navigasi selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Baca juga: [TERKINI] SARA RM100 Dah Masuk, Ini 15 Kategori & Jenama Produk Diluluskan MyKasih 2026
Sumber: Reuters / FMT / RTM / Berita Harian / Sinar Harian / BERNAMA
FT Image: X Anwar Ibrahim & Marine Traffic
