Euforia Bola 2026
Inspirasi

[VIDEO] Aksi Berani 6 ‘Wira’ Kg Pangi! Letak Motosikal Troli Atas Landasan Demi Hentikan Tren Hilang Fungsi Brek

kampung pangi

Keberanian enam anak muda di Kampung Pangi yang pantas bertindak meletakkan motosikal troli di landasan bagi memperlahankan sebuah kereta api yang mengalami masalah brek kini mendapat penghargaan rasmi daripada kerajaan negeri.

Tindakan mereka yang berani itu bukan sahaja menyelamatkan situasi, malah membuktikan semangat wira dalam kalangan generasi muda pedalaman Sabah.

Baca juga: Anak Saudara Sumber Penghibur Pak Ngah Yang Terlantar Sejak 2016, Bikin Netizen ‘Merah Mata’ Lihat Kebaikan

KERETA API HILANG FUNGSI BREK, 6 HERO KAMPUNG PANGI DIHADIAHKAN MOTOSIKAL BAHARU

kampung pangi

Gambar: Tangkap layar video menunjukkan situasi detik cemas yang dihadapi penumpang dalam insiden keretapi hilang fungsi brek di Kampung Pangi.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan motosikal baharu kepada keenam-enam anak muda itu selepas dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Sumbangan ini dipersetujui sendiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Saya mewakili enam anak muda terbabit merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan serta sumbangan yang amat bermakna ini.

“Tindakan berani dan pantas mereka kemungkinan besar telah mengelakkan berlakunya bencana yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Baca juga: Bangga Malaysia! Nama Saintis UMT Kini Terpahat Pada Spesies Baharu Parasit Ikan ‘Thelohanellus Borkhanuddini’

kampung pangi

Gambar: Motosikal troli milik 6 wira anak muda Kampung Pangi yang diletakkan di atas landasan untuk membantu memperlahankan tren yang hilang fungsi brek.

Detik cemas kereta api di kampung pangi

Kejadian itu berlaku awal pagi Selasa apabila sebuah kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi menghadapi detik cemas kerana breknya tidak berfungsi.

Dalam keadaan yang mencemaskan itu, enam anak muda Kampung Pangi bertindak segera meletakkan motosikal troli di landasan untuk memperlahankan kereta api tersebut.

Mengulas lanjut, Jamawi berkata, walaupun pelbagai versi cerita timbul mengenai insiden tersebut, tindakan bijak dan pantas mereka terbukti berjaya memperlahankan pergerakan kereta api.

“Jika tiada tindakan berani itu, kemungkinan berlaku insiden lebih buruk kerana kelajuan kereta api tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh pemandu.

“Kita juga merakamkan penghargaan kepada pemandu kereta api yang tenang dan tidak panik dalam mengawal situasi sehingga keadaan berjaya distabilkan,” katanya.

Baca juga: Anak Terengganu Raih PhD Kejuruteraan Aeroangkasa, Antara 27 Paling Berbakat Dunia Dalam ‘Vertical Flight’!

Pengiktirafan wajar untuk hero tersembunyi

Beliau turut menegaskan bahawa enam pemilik motosikal troli serta pemandu kereta api adalah ‘unsung hero‘ yang wajar diberi pengiktirafan atas keberanian dan ketenangan mereka dalam menghadapi situasi yang berisiko tinggi.

Sumbangan motosikal baharu ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan, malah sebagai motivasi untuk generasi muda terus berani dan prihatin.

Dalam pada itu, Jamawi menitipkan kata-kata semangat kepada guru-guru SK Pangi agar terus cekal mendidik anak-anak di pedalaman Sabah, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya bangga dengan komitmen dan pengorbanan para guru yang sanggup meredah pelbagai cabaran demi memastikan anak-anak di pedalaman mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya lagi.

Tindakan pantas enam anak muda Kampung Pangi ini menjadi inspirasi bahawa keberanian dan kesedaran sivik mampu memberi impak besar, walaupun di kawasan pedalaman yang jauh daripada kemudahan bandar.

Sumber: Facebook Jamawi Jaafar (1), (2)

FT Image: Facebook Jamawi Jaafar

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×