Ramai tidak sedar bahawa beberapa perkara yang sering dilakukan dalam kehidupan seharian sebenarnya boleh dianggap sebagai langgar undang undang.
Ada yang menganggap ia sekadar amalan biasa, malah ada yang melakukannya secara terbuka tanpa mengetahui risiko yang menanti.
5 BENDA LANGGAR UNDANG UNDANG TAPI RAMAI DAH BUAT

Berikut lima amalan yang masih kerap berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia, tetapi sebenarnya mempunyai implikasi undang-undang yang ramai tidak sedari:
1. Main duit kutu sebagai perniagaan
Duit kutu sering dianggap sebagai kaedah simpanan atau pusingan wang yang mudah, terutama dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga.
Namun, ramai tidak mengetahui bahawa penganjuran kumpulan wang kutu sebagai satu bentuk perniagaan atau melibatkan kutipan daripada orang ramai adalah dilarang di sisi undang-undang.
Di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, mana-mana pihak yang menganjurkan kumpulan wang kutu boleh dianggap melakukan suatu kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Walau bagaimanapun, amalan duit kutu dalam kalangan keluarga atau rakan rapat tanpa sebarang caj, keuntungan atau yuran biasanya tidak menjadi isu.
2. Amalan sambung bayar kenderaan
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ada individu memilih untuk mengambil atau menyerahkan kenderaan melalui kaedah “sambung bayar”.
Walaupun ia kelihatan seperti penyelesaian mudah, amalan ini sebenarnya tidak sah di sisi undang-undang. Ini kerana pinjaman kenderaan yang dibuat dengan institusi kewangan tidak boleh dipindahkan sesuka hati kepada pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis daripada bank.
Amalan sambung bayar boleh melanggar Akta Sewa Beli 1967 serta syarat perjanjian pinjaman yang ditetapkan oleh pihak pembiaya.

3. Kenakan caj tambahan untuk bayaran kad kredit/debit
Pernah melihat notis yang menyatakan pelanggan perlu membayar tambahan 2 hingga 3 peratus jika menggunakan kad kredit?
Amalan ini sebenarnya tidak dibenarkan. Di bawah Payment Card Reform Framework, peniaga tidak boleh mengenakan caj tambahan kepada pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kad kredit atau kad debit.
Kos pemprosesan transaksi kad sepatutnya ditanggung oleh pihak peniaga berdasarkan perjanjian dengan penyedia perkhidmatan pembayaran, bukannya dipindahkan kepada pengguna.
4. Berniaga online tanpa maklumat perniagaan
Perkembangan media sosial menjadikan sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan secara dalam talian dengan mudah.
Namun begitu, ramai peniaga kecil masih mengabaikan keperluan untuk memaparkan maklumat perniagaan yang lengkap pada akaun media sosial atau platform jualan mereka.
Di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, peniaga diwajibkan memaparkan:
- Nama perniagaan
- Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat
- Alamat e-mel
- Nombor telefon
Maklumat ini penting bagi melindungi hak pengguna dan memastikan urus niaga dilakukan secara telus. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga yang terlibat.
5. Jual produk kesihatan/ubat tanpa kelulusan KKM
Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, individu yang menjual produk tanpa kelulusan atau nombor pendaftaran yang sah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Selain melanggar undang-undang, tindakan tersebut juga boleh membahayakan kesihatan pengguna kerana keselamatan dan keberkesanan produk tidak dapat dipastikan.
Oleh itu, penting untuk setiap individu memahami peraturan yang berkuat kuasa supaya tidak terjebak dalam kesalahan tanpa disedari.
Baca juga: 11 Hari Ayah Hilang Selepas Keluar Cari Rumput, Mayat Ditemui Dalam Kebun Getah
Sumber: Instagram jillliyana
