Adat dalam Islam bukan sekadar amalan turun-temurun yang diwarisi oleh masyarakat, tetapi ia perlu selari dengan hukum syarak dan tidak bercanggah dengan akidah.
Setiap adat yang diamalkan hendaklah diteliti kerana Islam meletakkan garis panduan yang jelas dalam menentukan sama ada sesuatu amalan itu diterima atau sebaliknya.
Baca juga: Ramai Tertanya, Betul Ke Tak Boleh Bercakap Dengan Ahli Kubur Ketika Ziarah? Ini Penjelasan Mufti
ADAT DALAM ISLAM YANG HARAM TAPI RAMAI MASIH BUAT
Berikut adalah empat adat dalam Islam yang perlu diberi perhatian kerana bercanggah:
1. Percaya kepada bomoh dan tangkal

Masih ramai yang mendapatkan khidmat bomoh atau tukang tilik untuk mengetahui perkara ghaib seperti jodoh, rezeki atau masa depan. Ada juga yang bergantung kepada nombor, kad atau tafsiran mimpi untuk membuat keputusan hidup.
Selain itu, pemakaian tangkal, gelang, benang atau objek tertentu yang didakwa mempunyai kuasa pelindung turut diamalkan. Hakikatnya, kepercayaan bahawa sesuatu selain Allah mampu memberi perlindungan atau menentukan nasib adalah perbuatan syirik, walaupun ia dilakukan atas alasan adat atau warisan keluarga.
2. Adat mandi tolak bala
Amalan mandi tertentu dengan tujuan membuang sial, menolak bala atau mengubah nasib juga masih dilakukan di sesetengah tempat. Ada yang percaya air atau ritual tertentu mempunyai kuasa untuk menghapuskan malang.
Islam mengajar umatnya untuk berdoa, bertaubat dan berusaha, bukan bergantung kepada ritual yang tidak bersandarkan dalil.

3. Adat perkahwinan yang melampau
Perkahwinan sepatutnya menjadi ibadah yang dipermudahkan, namun ada adat yang menjadikannya semakin rumit dan membebankan. Antaranya amalan tepung tawar yang disertai bacaan mentera, serta penetapan hantaran yang terlalu tinggi sehingga menyusahkan pihak lelaki.
Selain itu, terdapat juga unsur yang melanggar batas syariat seperti pakaian pengantin yang mendedahkan aurat dan acara hiburan melampau yang melalaikan. Semua ini bercanggah dengan tujuan asal perkahwinan dalam Islam yang menekankan kesederhanaan dan keberkatan.
4. Adat berkaitan kematian
Dalam masyarakat, sering diamalkan kenduri arwah pada hari-hari tertentu seperti hari ketiga, ketujuh atau keempat puluh selepas kematian. Ada yang menganggapnya sebagai satu kewajipan adat yang mesti dilakukan.
Hakikatnya, penetapan hari-hari tertentu tanpa dalil tidak dianjurkan dalam Islam. Jika ingin bersedekah atau melakukan amal kebajikan untuk si mati, ia dibenarkan, namun tidak terikat dengan hari tertentu atau kepercayaan tertentu.
Islam tidak menolak adat secara keseluruhan, tetapi menetapkan bahawa setiap amalan mestilah tidak bercanggah dengan akidah dan syariat.
Sumber: Lemon8 ieda juhri
