Euforia Bola 2026
Famili

Niat Cari Rezeki Bertukar Duka, 3 Pekerja Pelantar Minyak Maut Dalam Insiden Bot Penyelamat Jatuh Tengah Laut

pekerja pelantar minyak

Tragedi menyayat hati berlaku di Platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan apabila tiga pekerja pelantar minyak maut selepas bot penyelamat (life boat) yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan pada Ahad.

Baca juga: Tandas Awam Di Perlis Ini Viral Sebab Terlalu Cantik & Estetik, Ramai Siap Puji Cleaner – “Macam Hotel!”

TIGA PEKERJA PELANTAR MINYAK MAUT

pekerja pelantar minyak

Foto: Facebook Kim Zilan

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, empat mangsa yang merupakan warga tempatan dipercayai menaiki bot penyelamat untuk turun ke bahagian bawah platform bagi menjalankan kerja penyelenggaraan sebelum insiden tragis berkenaan berlaku secara tiba-tiba.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, kejadian dipercayai berlaku selepas tali atau cangkuk (hook) yang dipasang pada bot penyelamat tersebut tercabut secara mengejut.

Kejadian itu menyebabkan bot berkenaan jatuh ke dalam laut bersama kesemua mangsa yang berada di dalamnya.

Impak yang kuat akibat jatuhan tersebut menyebabkan semua mangsa mengalami kecederaan serius sebelum pasukan penyelamat segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

Beliau berkata, kesemua mangsa berjaya dibawa naik semula ke atas platform sebelum dihantar menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus sekitar jam 4 petang.

Mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menerima rawatan lanjut.

Tiga Pekerja Pelantar Minyak Disahkan Meninggal Dunia Di Hospital

Bagaimanapun, tiga daripada mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah kira-kira jam 5.25 petang akibat kecederaan parah yang dialami dalam insiden tersebut.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai:

  • Ahmad Fiqri Zakaria berumur 38 tahun.
  • Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam berumur 28 tahun.
  • Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid berumur 37 tahun.

Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu Mohd Taufik Mohd Ruslan berumur 37 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat patah tulang dan kini masih menerima rawatan di hospital sama.

Polis Klasifikasikan Kes Sebagai Mati Mengejut

Polis berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa dijadual dijalankan sekitar jam 8.30 pagi ini di Jabatan Forensik HSNZ.

Polis juga sedang mendapatkan maklumat lanjut termasuk aspek teknikal berkaitan bot penyelamat berkenaan bagi membantu siasatan.

Undang Sebak Ramai Di Media Sosial

pekerja pelantar minyak

Foto: Sinar Harian

Insiden tragis itu turut mengundang sebak ramai apabila kisah kejadian berkenaan mula tular di media sosial sejak malam tadi.

Rata-rata netizen menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa selain mendoakan agar urusan semua ahli keluarga dipermudahkan dan mangsa yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa. Al-Fatihah.

TERKINI: PETRONAS telah mengesahkan kejadian tiga pekerja dan kontraktornya maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian di Platform Sepat pada Ahad.

pekerja pelantar minyak

Foto: PETRONAS

PETRONAS juga memaklumkan siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.

Baca juga: “Anak Balik Sekolah Terus Mengadu…”- Ramai Ibu Bapa Terkejut Bila Doktor Periksa Bahagian Sulit Murid Lelaki, Ini Penjelasannya

Sumber: Sinar Harian dan Berita Harian

FT Images: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×