Kadang-kadang ada beberapa perubahan atau tabiat pada tubuh yang dianggap pelik, padahal sebenarnya petanda badan sihat dan sedang berfungsi dengan baik.
Malah, ada yang risau bila kerap bersin waktu pagi, cepat berpeluh atau suka menguap, sedangkan semua itu boleh menjadi tanda sistem badan berada dalam keadaan sihat dan stabil.
Baca juga: Pemuda Maut ‘Melayang’ Dirempuh SUV Tak Sempat Konvo, Arwah Disenangi Pensyarah & Rakan-Rakan
11 TANDA PELIK TAPI SEBENAR BADAN SIHAT, JANGAN RISAU

Kredit: Magnific
Berikut antara tanda pelik tetapi sebenarnya menunjukkan badan anda berada dalam keadaan sihat:
1. Jarang demam walaupun setahun sekali
Jika anda jarang jatuh sakit atau demam, ia boleh menjadi petanda sistem imun badan kuat dan stabil. Ini bermaksud tubuh mampu melawan virus atau bakteria dengan baik sebelum ia menyebabkan jangkitan serius.
Namun begitu, terlalu kerap sakit atau langsung tidak pernah menunjukkan reaksi terhadap jangkitan juga perlu dipantau kerana setiap badan bertindak berbeza.
2. Ada lapisan putih nipis pada lidah
Lapisan putih nipis pada permukaan lidah kadang-kadang dianggap kotor, tetapi dalam keadaan normal, ia boleh menjadi tanda bakteria baik dan sistem imun sedang bekerja melindungi mulut.
Apa yang perlu diberi perhatian ialah jika lapisan terlalu tebal, berbau atau menyebabkan sakit kerana petanda jangkitan.
3. Kerap bersin waktu pagi
Ramai ingat bersin pagi tanda alahan semata-mata. Sebenarnya, ia juga boleh berlaku kerana sistem penapisan hidung sedang membersihkan habuk, bakteria dan partikel asing yang terkumpul ketika tidur.
Ini menunjukkan saluran pernafasan masih responsif dan berfungsi dengan baik.
4. Najis berwarna perang muda
Warna najis sebenarnya memberi gambaran tentang kesihatan usus dan hati. Najis berwarna perang muda atau coklat biasanya menunjukkan proses pencernaan dan pembuangan sisa berjalan dengan baik.
Jika warna berubah terlalu gelap, merah atau pucat untuk tempoh lama, sebaiknya dapatkan pemeriksaan.
5. Cepat mengantuk pada waktu malam
Bila badan mula mengantuk awal pada waktu malam, itu petanda hormon melatonin berada pada paras seimbang dan ritma tidur tubuh berfungsi secara normal.
Tidur yang konsisten membantu tubuh membaiki sel, menstabilkan emosi dan meningkatkan tenaga harian.
6. Sering menguap bila bosan
Menguap bukan semata-mata sebab mengantuk. Kajian mendapati ia membantu otak mengawal suhu dan meningkatkan pengambilan oksigen supaya kekal fokus.
Sebab itu, kadang-kadang kita menguap ketika terlalu lama fokus atau berada dalam keadaan bosan.
7. Kentut tapi tidak berbau busuk
Walaupun bunyinya memalukan, kentut yang tidak terlalu berbau sebenarnya boleh menjadi tanda sistem penghadaman dan bakteria usus berada dalam keadaan baik.
Bau terlalu kuat pula kadang-kadang berkait dengan pemakanan tertentu atau masalah usus.

Kredit: Magnific
8. Cepat berpeluh walaupun bergerak sedikit
Ada orang cepat berpeluh walaupun hanya berjalan perlahan. Dalam banyak keadaan, ini menunjukkan badan sedang mengawal suhu dengan baik bagi memastikan tubuh tidak terlalu panas.
Berpeluh juga membantu menyejukkan badan secara semula jadi.
9. Tangan lembap secara semula jadi
Tangan yang sedikit lembap tidak semestinya tanda masalah kesihatan. Ia boleh menunjukkan badan cukup hidrasi dan sistem saraf masih aktif mengawal suhu badan.
Namun jika terlalu berlebihan sehingga mengganggu aktiviti harian, ia mungkin perlu diperiksa.
10. Cepat lupa perkara remeh
Pernah lupa letak kunci tapi masih ingat perkara penting? Itu sebenarnya cara otak menapis maklumat tidak penting untuk mengelakkan “overload”.
Otak manusia memang direka untuk menyimpan perkara yang dianggap lebih penting atau memberi kesan emosi lebih kuat.
11. Mudah tersentuh sampai rasa nak menangis
Mudah sebak atau tersentuh hati sering dikaitkan dengan individu yang mempunyai tahap empati tinggi. Ia juga berkait dengan hormon oksitosin yang membantu membina hubungan emosi dan rasa kasih sayang.
Tubuh manusia memang mempunyai banyak tindak balas semula jadi yang kadang-kadang nampak pelik tetapi sebenarnya normal. Selagi tidak berlebihan atau mengganggu kehidupan harian, kebanyakan tanda ini hanyalah sebahagian daripada cara badan menjaga kesihatan secara semula jadi.
Namun, jika anda mengalami simptom berpanjangan atau luar biasa, jangan abaikan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.
Sumber: Lemon8 Holalolalo & Doctor Sethi
